MADRID: Hampir 60,000 penduduk terpaksa berpindah ke tempat selamat semalam susulan kebakaran hutan yang teruk berhampiran ibu negara Sepanyol, Madrid, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Wakil kerajaan Sepanyol bagi Madrid, Francisco Martin Aguirre berkata di wilayah Avila, barat laut Madrid, seramai 30,000 penduduk telah dipindahkan.
Seramai 29,488 lagi penduduk dipindahkan dari kawasan sekitar ibu negara.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa lebih 28,000 penduduk tidak dapat meninggalkan kediaman mereka akibat kebakaran itu, membabitkan 20,262 orang di kawasan metropolitan Madrid dan 8,000 lagi di Avila.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Jumaat mengisytiharkan “keadaan darurat peringkat nasional” di kawasan metropolitan Madrid dan Avila.
Menurut penyiar awam RTVE, ini kali pertama pengisytiharan sedemikian dibuat di Sepanyol akibat kebakaran hutan.
Pada pagi Sabtu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keadaan cuaca bertambah baik semalaman, sekali gus memudahkan usaha memadamkan kebakaran.
Sanchez dalam ucapan dari pusat operasi perkhidmatan kecemasan berkata keadaan itu memberi peluang untuk kebakaran berkenaan dikawal pada hujung minggu.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan masih sukar dan keutamaan utama adalah untuk melindungi nyawa. – Bernama




