Buaya betina 2.95 meter ditangkap di Kampung Perpat susulan kes serangan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KABONG: Seekor buaya katak betina sepanjang 2.95 meter berjaya ditangkap dan dipindahkan di Kampung Perpat di sini susulan kejadian serangan buaya yang dilaporkan pada 20 Julai lalu.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan memaklumkan, operasi pemindahan itu dilaksanakan hasil kerjasama antara SFC, pemburu buaya berlesen Wong King Min serta penduduk setempat.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan susulan bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia dan buaya di kawasan terbabit.

“SFC akan terus memantau kawasan berkenaan bagi memastikan konflik manusia dan buaya dapat dikawal dengan berkesan.

“Selain pemantauan populasi buaya, program kesedaran 3M kepada semua lapisan masyarakat turut akan terus dipergiatkan bagi meningkatkan tahap keselamatan orang awam,” menurut kenyataan itu, semalam. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan sebarang aktiviti di sungai yang diketahui menjadi habitat buaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.