ONE Championship: Kejayaan Aliff Rakib jadi inspirasi anak muda berani kejar impian – Ahmad Zahid

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejayaan jaguh muay thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib yang muncul sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship sebagai satu pencapaian bersejarah yang membanggakan.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau berkata kejayaan atlet muda itu membuktikan kemampuan anak Malaysia bersaing di pentas dunia selain mencatat satu lagi rekod baharu dalam arena sukan negara.

“Alhamdulillah, satu lagi rekod baharu buat Malaysia. Tahniah saya ucapkan kepada jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship,” katanya.

AKSI Aliff Rakib ketika menentang legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao. Foto ONE Championship

Ahmad Zahid turut menyifatkan kejayaan Aliff sebagai pemangkin kepada lebih ramai generasi muda untuk menceburi bidang sukan serta berani mengejar impian sehingga mampu mengangkat nama negara di peringkat antarabangsa.

“Tahniah anak muda! (Well done, young man!)  Pencapaian Aliff pastinya menjadi inspirasi kepada generasi muda agar berani mengejar impian dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Kejayaan penuh bermakna itu dilakar Aliff selepas menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE: The Inner Circle 23 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.

Kemenangan itu meletakkan namanya dalam sejarah sebagai atlet pertama negara menjulang kejuaraan dunia di pentas organisasi seni bela diri terbesar dunia itu. – Bernama