Festival Kuching perkukuh identiti anak Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pesta Ria sempena Festival Kuching bukan sekadar pesta makanan atau acara tahunan, malah menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh identiti anak Sarawak menerusi penyatuan masyarakat berbilang kaum, di samping merancakkan ekonomi tempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sejak diperkenalkan pada 1986, Festival Kuching berkembang daripada sebuah pesta kecil sebelum Kuching diiktiraf sebagai bandar raya kepada antara acara terbesar di Sarawak yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Menurutnya, festival tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan warga Kuching, malah mendorong ramai anak Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan luar negara pulang ke tanah air bersama rakan-rakan mereka untuk memperkenalkan keunikan bandar raya ini.

“Kebiasaannya ketika Tahun Baharu Cina, Hari Raya atau Gawai mereka membawa pulang keluarga, tetapi semasa Festival Kuching mereka membawa rakan-rakan kerana bangga menjadi anak Kuching dan anak Sarawak.

“Itulah semangat pembinaan bangsa Sarawak yang ingin kita pupuk. Apabila seseorang dilahirkan di Sarawak, walau di mana mereka berada atau kewarganegaraan yang dimiliki pada masa hadapan, mereka tetap anak Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Ria sempena Festival Kuching 2026, di sini, malam ini.

Dr Sim berkata, festival berkenaan turut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa menerusi jaringan bandar persahabatan yang membolehkan Kuching dikenali di peringkat global.

Beliau berkata, hubungan erat dengan bandar-bandar luar termasuk Guro City di Korea Selatan membuktikan kejayaan diplomasi bandar raya yang dibina sejak sekian lama, sekali gus membuka peluang kepada Sarawak mempromosikan budaya, hospitaliti dan potensi pelancongannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Festival Kuching turut menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan apabila memberi peluang kepada pelajar institusi pengajian tinggi, golongan profesional serta usahawan dalam talian memasarkan produk dan mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, terdapat ramai pelajar universiti menggunakan festival tersebut sebagai latihan keusahawanan sebenar, manakala sebahagian peniaga dalam talian berjaya membina jenama selepas mendapat sambutan di festival itu.

TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan ucapan ketika merasmikan Pesta Ria sempena Kuching Festival 2026 di Kuching, malam ini.

“Ini bukan sekadar berniaga. Ramai profesional seperti peguam, arkitek dan perunding membuka gerai untuk berkongsi kreativiti mereka bersama masyarakat. Bagi pelajar pula, inilah latihan sebenar dalam dunia perniagaan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kepelbagaian gerai makanan yang menampilkan masyarakat Melayu, Cina, Dayak, India, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai lambang perpaduan yang menjadi identiti Sarawak.

Menurutnya, semangat hidup bersama tanpa mengira kaum itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan inklusif.

Pada masa sama, beliau berkata, penganjuran 32 program sepanjang Festival Kuching termasuk aktiviti berjalan kaki, sukan, persembahan kebudayaan, K-Pop, cosplay dan pelbagai aktiviti komuniti membuktikan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam mewujudkan bandar raya yang sihat, mesra keluarga dan inklusif.

Beliau berkata, usaha tersebut bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara generasi serta memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas impak ekonomi festival itu, Dr Sim berkata, Festival Kuching mampu menarik lebih 1.3 juta kunjungan sepanjang penganjurannya setiap tahun, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan serta komuniti perniagaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong penganjuran festival tersebut memandangkan ia menawarkan pendedahan kepada jutaan pengunjung selain menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara bersama.

“Apabila setiap orang memainkan peranan masing-masing, sama ada kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta mahupun rakyat, kita sedang membina Sarawak bersama.

“Kuching ialah bandar anda, bandar saya dan bandar kita. Inilah semangat yang menjadikan Kuching dikenali sebagai City of Unity dan contoh kepada bandar-bandar lain di Malaysia,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi