SMD, Imigresen Sarawak perkukuh kerjasama bangunkan industri semikonduktor

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sarawak Microelectronics Design (SMD) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak bagi memudah cara urusan pengambilan tenaga kerja berkemahiran tinggi, termasuk ekspatriat, dalam usaha menyokong pembangunan industri semikonduktor di negeri ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun media sosial rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak hari ini, Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili menerima kunjungan hormat delegasi SMD yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil di Bilik Mesyuarat Gemilang, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak.

Dalam sesi itu, Shariman turut menyampaikan taklimat mengenai perkembangan syarikat yang merangkumi Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak, pencapaian utama serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan bagi memperkukuh industri semikonduktor di Sarawak.

KUNJUNGAN HORMAT… Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Abdul Halim Abang Naili, bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Microelectronics Design (SMD), Shariman Jamil serta wakil kedua-dua pihak selepas sesi kunjungan hormat di Bilik Mesyuarat Gemilang, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kunjungan hormat berkenaan turut menjadi platform kepada SMD untuk mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada JIM Sarawak berhubung urusan pengambilan ekspatriat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta kepakaran khusus yang diperlukan industri berkenaan.

“Kerjasama ini penting bagi memastikan proses pengambilan bakat global dapat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta dasar imigresen yang berkuat kuasa, sekali gus menyokong pertumbuhan industri semikonduktor di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

JIM Sarawak, menurut kenyataan sama, sentiasa komited memberikan kerjasama dan khidmat nasihat profesional kepada pihak industri bagi memudah cara urusan imigresen selaras dengan usaha menyokong pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan pemain industri diyakini mampu memperkukuh ekosistem semikonduktor Sarawak, sekali gus menyokong aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab industri berteknologi tinggi di rantau ini.

Oleh Afiq Sallehi