Pada pilihan raya umum ke-15, dijangka terdapat 15 juta atau 66 peratus pengundi berusia 18 hingga 40 tahun. Maka, golongan ini memainkan peranan penting menentukan hala tuju politik negeri dan negara. Berdasarkan kenyataan tersebut, terdapat keperluan untuk memahami isu-isu yang membelenggu anak muda atau belia. Golongan inilah yang bakal mencorakkan politik semasa. Mereka mempunyai rasional, idealisme selain bersifat realistik terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Tidak mustahil hayunan undi berlaku sekiranya isu-isu kalangan kelompok ini kurang disantuni dengan bijaksana. Terdapat beberapa isu yang boleh dikenali pasti.
Belenggu Pinjaman Pendidikan
Antara isu yang menjadi belenggu anak muda adalah hutang pendidikan, khususnya apabila mereka selesai menamatkan pengajian. Pinjaman pendidikan adalah isu yang memberikan bekas kepada anak muda, khususnya proses membayar balik pinjaman yang memakan waktu. Masalah yang menimpa ini semakin terbeban apabila kadang-kadang belum mendapat kerja yang stabil sudah muncul tuntutan pinjaman pendidikan. Hutang pinjaman ini merupakan salah satu hutang kepenggunaan yang sentiasa membelenggu anak muda, selain hutang pinjaman kereta dan rumah. Kadar faedah akan sentiasa meningkat dan bertambah, menjadikan rasa dibelenggu dengan hutang menyebabkan ketidakselesaan dan ketidaksejahteraan hidup mereka.
Bagi anak muda yang sedang melanjutkan pengajian pula, banyak berdepan dengan isu yuran dan kos hidup tinggi apabila melanjutkan pengajian tinggi dan hal ini semakin bertambah dan membebankan. Agak jarang-jarang mendengar penurunan yuran pengajian berlaku. Harga rumah sewa di luar juga tinggi dan mengakibatkan berlakunya situasi sebuah apartment dihuni sekitar 12-15 orang pelajar. Pembaikian sistem pendidikan dan menjadikan isu melanjutkan pengajian tinggi sebagai keperluan asas dan mampu diikuti oleh sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan ekonomi sesebuah keluarga, perlu dilihat secara serius.
Berdasarkan kelayakan semakin bertambah, maka wajar pihak kerajaan menambahgandakan peruntukan biasiswa kepada anak muda yang cemerlang. Begitu juga isu pinjaman biasiswa ppada kadar faedah yang rendah perlu dikenakan. Di Sarawak, usaha memberikan subsidi seperti pemotongan jumlah perlu dikenakan bayaran pinjaman apabila mendapat keputusan cemerlang sangatlah dialu-alukan. Begitu usaha kerajaan negeri membantu membayar sejumlah peratusan pinjaman bagi mengurangkan bebanan anak muda daripada belenggu hutang pinjaman pendidikan.
Peluang pekerjaan
Apabila ekonomi kurang memberangsangkan akibat pandemik covid-19, maka perkara in menyukarkan anak muda dalam pencarian kerjaya yang mereka minati. Bidang pengajian yang dipelajari selama bertahun-tahun kadangkala tidak dapat dimanfaatkan kerana terpaksa menceburi apa-apa sahaja kerjaya tanpa memerlukan pengkhususan yang dipelajari mereka. Hal yang sebegini merupakan satu kerugian kepada negara dalam usaha mengisi pembangunan berdasarkan bidang kepakaran mereka.
Apabila berlakunya pengurangan pekerja atau pengecilan saiz syarikat , maka anak muda akan bersaing dengan calon-calon yang sudah berpengalaman bekerja. Hal ini memberikan cabaran kepada anak muda. Maka anak muda mengharapkan campur tangan daripada kepimpinan politik negeri agar dapat memperluaskan dasar campur tangan, khususnya dasar fiskal dan peningkatan kerajaan berbelanja bagi membuka pasaran baharu kepada anak muda menceburi kerjaya. Kepekaan kepimpinan politik diperlukan dalam keadaan ini, untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dan membawa Sarawak ke hadapan.
Berdasarkan situasi ini, sifat anak muda lebih realistik. Mereka mahu agar nasib mereka dibela dan dipelihara. Mereka perlu sokongan dan dukungan daripada kerajaan agar pembangunan yang dirancang memberikan impak besar kepada kehidupan mereka. Pembangunan yang memfokuskan kepada sesuatu kawasan atau bahagian harus dielakkan dan sebaliknya perlu dipelbagaikan pembangunan di pelbagai wilayah. Hal ini dapat mengelakkan perpindahan dari luar bandar ke bandar atau pinggir bandar ke bandar.
Berkaitan dengan peluang kerjaya, anak muda memerlukan latihan dan peluang keusahawan untuk memastikan mereka tidak terlalu bergantung pada bekerja dengan pihak swasta atau kerajaan. Latihan yang disediakan oleh kerajaan seperti yang diusahakan oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal (Centex) amatlah dialu-alukan. Cuma, akses kepada maklumat berkenaan kursus-kursus seperti ini perlu diperluaskan agar lebih ramai mengetahui kewujudan pusat latihan ini yang terbuka kepada pelbagai lapisan golongan yang memerlukan bimbingan dan latihan semula.
Dasar tenaga kerja peringkat negeri perlu mengambil kira jumlah graduan yang keluar daripada institusi pengajian awam dan swasta setiap tahun. Golongan anak muda ini termasuklah golongan graduan, wanita, skim perintis dan sebagainya. Insentif tambahan diharapkan, untuk memberi ganjaran kepada majikan yang membantu memperluaskan peluang pekerjaan, lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik ini. Kerajaan perlu proaktif memikirkan strategi terbaik untuk membantu membuka pasaran kerja seluas-luasnya dan membina ekosistem yang memberangsangkan anak muda untuk produktif menyumbang tenaga untuk pembangunan negeri Sarawak.
Peluang memiliki rumah
Setiap orang mahu memiliki rumah yang selesa untuk diduduki dan hal ini tidak semestinya mewah. Sebaliknya sesuai dengan pendapatan mereka. Masalah utama golongan belia adalah mendapat peluang untuk pemilikan rumah. Namun, faktor pendapatan isi rumah mempengaruhi kemampuan untuk membeli rumah. Bermakna pendapatan isi rumah lebih tinggi, jenis pekerjaan, dan jawatan tetap akan mempercepatkan proses kelulusan permohonan pinjaman oleh pihak bank. Namun, bagi golongan yang baru bekerja, atau berpendapatan kurang, mereka terpaksa bersaing dengan golongan yang sudah lama bekerja dan mempunyai kemampuan untuk membuat pinjaman bank. Peluang mendapat perumahan mampu milik juga terpaksa bersaing dengan orang lain. Yang paling sukar adalah untuk mendapat rumah dengan harga yang berpatutan di kawasan tidak jauh daripada tempat bekerja.
Di sinilah isu belia berkaitan dengan rumah, bukan sahaja isu kemampuan meminjam dari bank atau pinjaman kerajaan yang memerlukan pendapatan tetap dan kemampuan membayar balik. Isu inn juga memerlukan strategi kerajaan membantu meringankan beban masalah mendapatkan rumah mampu milik. Kerajaan negeri mempunyai komitmen membina projek perumahan kerajaan, mahu pun bekerjasama dengan pihak swasta di bandar-bandar utama. Namun, yang menjadi isu dalam kalangan anak muda adalah harga rumah melepasi kadar mampu milik mereka yang kebanyakannya berada dalam golongan B40. Maka, kerajaan perlu memperluaskan inisiatif agar tidak berlaku lambakan perumahan akibat ketidakmampun golongan anak muda berpendapatan rendah untuk membeli rumah. Hal ini penting bagi pelaksanaan matlamat Dasar Perumahan Negara tercapai.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).