KUCHING: Hanya 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dibenarkan untuk mengambil cuti Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak, kata pengarahnya, Khirudin Drahman @ Hussaini.
Katanya, pada masa kini terdapat seramai 1,227 pegawai dan anggota yang bertugas di peringkat balai yang terdiri daripada 1,006 petugas sepenuh masa, manakala 221 orang lagi petugas bomba bantuan.
“Pada dasarnya jabatan membenarkan 20 peratus (pegawai mengambil cuti) khasnya di peringkat negeri dan balai bagi memastikan tenaga kerja mencukupi dan pada masa yang sama, memberi giliran kepada pegawai dan anggota untuk mengambil kesempatan bercuti sempena Aidilfitri,” kata semalam.
Menurut Khirudin, pembekuan cuti dibuat dengan mengambil kira keperluan semasa seperti kejadian bencana yang memerlukan jumlah tenaga kerja yang tinggi dan berterusan.
Berhubung program sanitasi awam oleh JBPM Sarawak, beliau berkata, ia masih diteruskan berdasarkan permohonan agensi atau atas arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setakat ini, sebanyak 4,218 premis telah disanitasi sejak 30 Mac lalu di Sarawak. -Bernama