‘Tiada tanda kehidupan’ ketika angka korban tanah runtuh China meningkat kepada 11 orang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ANGGOTA
penyelamat mencari mangsa yang terselamat di lokasi kejadian tanah runtuh di Daerah Pengshui, Chongqing, China pada 17 Julai 2026. Foto AFP

BEIJING, China: Angka kematian akibat kejadian tanah runtuh di barat daya China meningkat kepada 11 orang, manakala pasukan penyelamat masih mencari 50 individu yang hilang di bawah timbunan runtuhan yang dilaporkan ‘tiada tanda kehidupan’, menurut pihak berkuasa.

Tanah runtuh yang berlaku Jumaat lalu di Daerah Pengshui, Chongqing, menimbus beberapa bangunan kediaman di kaki gunung serta sepanjang tebing sungai.

KEJADIAN tanah runtuh di barat daya China menyebabkan 34 lagi hilang pada 17 Julai, menurut pihak berkuasa tempatan. Foto AFP

Ratusan anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian, dengan rakaman media kerajaan menunjukkan timbunan besar batu dan tanah runtuh menghempap kawasan jalan kediaman serta komersial.

Bagaimanapun, “selepas beberapa pusingan operasi pengesanan dan pencarian mangsa, tiada tanda kehidupan dikesan,” kata pihak berkuasa Pengshui dalam kenyataan di media sosial lewat Khamis.

“Usaha menyelamat amat mencabar berikutan jumlah runtuhan tanah yang besar, saiz dan bilangan bongkah batu yang banyak, ruang kerja yang terhad di lokasi kejadian serta keadaan cerun yang tidak stabil,” menurut kenyataan itu.

ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mangsa di lokasi kejadian tanah runtuh di Daerah Pengshui, Chongqing, China pada 17 Julai 2026. Foto AFP

“Pasukan pakar terus menjalankan operasi mencari mayat secara saintifik dan teratur, dengan bekerja sepanjang masa.”

Seramai 10 orang lagi dilaporkan cedera, tambah kenyataan itu. Sebelum ini, pihak berkuasa melaporkan lapan maut dan 34 lagi masih hilang.

Bencana itu berlaku kurang dua minggu selepas satu lagi kejadian tanah runtuh di wilayah Gansu, barat laut China, yang menimbus 33 orang dan mengorbankan 21 nyawa. – AFP