Kebakaran hutan dahsyat di Eropah paksa ribuan penduduk berpindah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA bomba memeriksa dan menjalankan operasi di kawasan perumahan yang terbakar akibat kebakaran hutan berhampiran Lège-Cap-Ferret, barat daya Perancis, pada 23 Julai 2026. Foto AFP

LÈGE-CAP-FERRET, Perancis: Kebakaran hutan yang dicetuskan suhu panas melampau dan angin kencang terus merebak di beberapa kawasan di Itali, Perancis dan Sepanyol, memaksa ribuan penduduk serta pelancong berpindah, manakala ratusan anggota bomba dibantu pesawat pengebom air bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

Ribuan pelancong di pesisir pantai Atlantik di barat daya Perancis dipindahkan dari tapak perkhemahan dan rumah percutian, manakala pihak berkuasa Sepanyol mengarahkan sebuah bandar berhampiran Madrid dikosongkan lewat Khamis susulan kebakaran yang gagal dikawal.

Menurut data satelit Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), jumlah kawasan yang musnah akibat kebakaran di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) setakat tahun ini merupakan yang kedua terbesar pernah direkodkan.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi berhampiran api yang marak di kawasan perumahan ketika kebakaran hutan berhampiran Lège-Cap-Ferret, barat daya Perancis, pada 23 Julai 2026. Foto AFP

Tiga anggota bomba maut ketika selatan Eropah berdepan gelombang haba yang semakin teruk, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Perancis mengaktifkan mekanisme perlindungan awam EU bagi mendapatkan bantuan dan memohon enam buah pesawat pemadam kebakaran, kata Presiden Emmanuel Macron pada Jumaat.

“Anggota gendarmeri datang mengetuk setiap pintu. Api ketika itu hanya kira-kira 500 meter dari rumah. Kami terus mengambil beberapa barang penting dan beredar,” kata Patrick Martineau, 69, penduduk Le Porge di selatan bandar Bordeaux.

Bahagian tenggara Perancis turut terjejas teruk apabila puluhan kebakaran tercetus dan marak ditiup angin mistral di sekitar perkampungan bersejarah Cotignac. Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 25 rumah musnah sejak Selasa.

Di Itali, ribuan petugas kecemasan bertungkus-lumus memadamkan puluhan kebakaran di Sicily dan wilayah Calabria. Seorang pegawai tempatan mendakwa perbuatan khianat menjadi punca kebakaran apabila kain yang direndam cecair mudah terbakar diikat pada ekor kucing jalanan bagi menyebarkan api.

Seorang anggota bomba meninggal dunia selepas jatuh sakit ketika memadamkan kebakaran di Sicily, menurut Menteri Dalam Negeri Itali.

SEBUAH rumah terbakar dalam kebakaran hutan berhampiran Lège-Cap-Ferret, barat daya Perancis, pada 23 Julai 2026. Foto AFP

Di sekitar Bordeaux pula, lebih 20,000 orang, kebanyakannya pelancong yang menginap di tapak perkhemahan dan rumah sewa percutian, dipindahkan sejak Rabu apabila kebakaran memusnahkan hutan pain berhampiran pantai.

Pihak berkuasa berkata bahagian utara kawasan kebakaran berjaya dikawal, namun api masih belum dapat dipadam sepenuhnya di bahagian selatan.

Ketua operasi kebakaran hutan wilayah, Marc Vermeulen berkata, anggota bomba kini mempertahankan kawasan pelancongan Lege-Cap-Ferret “dari rumah ke rumah” bagi mengelakkan api terus merebak.

Pada Selasa lalu, dua anggota bomba maut ketika memadamkan satu lagi kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux.

Tiada Peluang

Langit di Le Porge bertukar jingga apabila asap tebal menyelubungi kawasan hutan pain yang hangus dan masih terbakar, manakala helikopter berulang-alik melakukan operasi di kawasan yang telah dipindahkan.

Pada 2022, kebakaran memusnahkan kawasan hutan sama dan memaksa kira-kira 50,000 orang dipindahkan.

Kebakaran kini berlaku dengan lebih pantas akibat perubahan iklim yang berpunca daripada pembakaran minyak, arang batu dan gas.

Ahli klimatologi daripada kumpulan World Weather Attribution dalam kajian yang diterbitkan pada Khamis menyatakan kemarau di Eropah kini semakin teruk.

Di seberang sempadan di Sepanyol, pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 3,500 penduduk sebuah bandar kecil di barat Madrid meninggalkan kediaman mereka lewat Khamis susulan kebakaran hutan yang semakin tidak terkawal.

Perkhidmatan kecemasan memaklumkan mesej amaran telah dihantar kepada penduduk Aldea de Fresno yang mengarahkan mereka berpindah segera.

Seramai 18 pasukan pemadam kebakaran bersama anggota khas dikerahkan untuk mengawal kebakaran itu, yang berlaku berhampiran satu lagi kebakaran hutan pada Rabu berhampiran bandar Toledo sehingga memaksa beberapa kampung dipindahkan.

Anggota bomba bertungkus-lumus sepanjang malam dan kebanyakan penduduk dibenarkan pulang pada Khamis.

Sementara itu, ratusan anggota bomba dan tentera masih berusaha mengawal kebakaran yang jauh lebih besar di wilayah Guadalajara, utara Madrid.

“Perubahan iklim ialah punca yang membunuh, memusnahkan kampung-kampung kita serta warisan semula jadi dan budaya kita,” kata Ketua Perlindungan Awam Sepanyol, Virginia Barcones, kepada radio tempatan.

Beliau memberi amaran bahawa sesetengah kebakaran menjadi terlalu dahsyat sehingga walaupun pesawat dan pasukan darat dikerahkan, anggota bomba hampir “tiada peluang” untuk mengawalnya.

Barcones berkata keadaan kebakaran di Guadalajara semakin bertambah baik, namun angin kencang dan suhu yang sangat tinggi masih menjadi ancaman utama. – AFP