Ilmu, AI penentu kemajuan masa depan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Kekayaan sumber semula jadi bukan lagi jaminan kejayaan sesebuah negara pada masa depan, sebaliknya ilmu pengetahuan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi penentu utama kemajuan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, landskap dunia kini berubah dengan begitu pantas, manakala perkembangan ekonomi dan teknologi berlaku pada kadar yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

MANFAATKAN SEBAIKNYA…Dr Sim menyerahkan replika cek kepada Lau. Turut disaksikan oleh (dari empat kiri) Lu, Joseph dan Buong Toon di SM Wong Nai Siong, hari ini.

“Justeru golongan muda perlu terus menimba ilmu, menguasai kemahiran era baharu serta memperkukuh daya saing di peringkat global,” ujarnya pada majlis penyerahan geran kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina di Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong, di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan masa depan Sarawak dan kerajaan akan terus menyokong pendidikan Cina menerusi penyaluran geran bagi membantu sekolah menaik taraf kemudahan serta mengurangkan beban operasi.

Menurutnya, langkah itu membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran, manakala pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

“Tujuan pemberian geran pendidikan bukan sekadar menambah baik infrastruktur sekolah, tetapi yang lebih penting ialah melahirkan modal insan cemerlang yang akan memacu pembangunan jangka panjang Sarawak,” katanya.

Beliau berharap pihak sekolah dapat memanfaatkan setiap geran yang diterima sebaik mungkin bagi melahirkan individu berkeupayaan tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata, kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada komitmen setiap ahlinya untuk terus belajar, meningkatkan kemahiran dan bersedia menimba ilmu daripada individu yang lebih berpengalaman.

“Setiap orang mempunyai peranan yang berbeza dalam sesebuah pasukan. Selagi masing-masing memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, kita mampu berganding bahu memacu pembangunan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak terus memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan, manfaat penjagaan kesihatan dan rancangan dana simpanan jangka panjang bagi membolehkan rakyat menikmati kemakmuran ekonomi negeri.

Dr Sim memberitahu, cabaran terbesar Sarawak ketika ini bukan lagi kekurangan sumber kewangan, sebaliknya pembangunan modal insan yang berkualiti.

“Oleh itu, kerajaan, pihak sekolah dan semua lapisan masyarakat perlu bekerjasama melahirkan lebih ramai individu cemerlang bagi memastikan pelan pembangunan masa depan Sarawak dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Mengambil contoh Pusat Jantung Sarawak, Dr Sim berkata, institusi itu kini tersenarai dalam 100 institusi perubatan terbaik di rantau Asia Pasifik hasil dedikasi dan kesinambungan usaha beberapa generasi petugas kesihatan sepanjang 25 tahun penubuhannya.

“Sempena ulang tahun ke-25 pusat itu tahun ini, bekas petugas perubatan yang pernah berkhidmat atau menjalani latihan di situ akan dijemput pulang bagi memperingati ulang tahun tersebut dan memberi penghormatan kepada generasi terdahulu,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, malah membentuk nilai murni serta semangat berkhidmat kepada masyarakat agar dapat kembali menyumbang kepada negeri dan negara.

“Saya menggesa guru serta pelajar memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan berikutan peningkatan penyakit kardiovaskular dalam kalangan golongan muda, termasuk tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.

“Hanya dengan kesihatan yang baik, seseorang mampu terus berkhidmat kepada masyarakat dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Temenggung Datuk Vincent Lau, Timbalan Pengerusi Datuk Chieng Buong Toon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng serta Pengetua sekolah Lu Yew Hiing.

Oleh Akun Giman