BINTULU: Di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak telah mencipta pelbagai pencapaian bersejarah yang memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat negeri ini.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan kerajaan GPS mentadbir negeri dengan visi yang jelas serta memberi tumpuan kepada pembangunan jangka panjang.
“Antara pencapaian signifikan kerajaan GPS ialah penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWFF), AirBorneo, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
“Pelbagai inisiatif strategik itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak, malah membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkasakan modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah ‘Jom Sedia’ Fasa 2 Zon Utara yang melibatkan Wanita PRS Bahagian Kakus, Samalaju, Kemena dan Tanjung Batu di sini, hari ini.
Menurut Doris, objektif program itu adalah untuk menyeru seluruh jentera Wanita PRS supaya sentiasa peka, bersedia dan bersatu dalam menghadapi cabaran semasa serta mendepani perkembangan pesat Sarawak.
Katanya, kesiapsiagaan itu penting selaras dengan kemajuan yang sedang dicapai negeri dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, tenaga, pendidikan dan kelestarian alam sekitar.
Doris turut menegaskan bahawa GPS perlu terus dipertahankan sebagai sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera Wanita PRS agar bekerja lebih gigih, memperkemaskan organisasi dan memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan PRS berjaya mempertahankan serta memenangi semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.
Beliau berkata, kemenangan tersebut sekali gus akan mengukuhkan lagi kekuatan serta relevansi GPS sebagai gabungan yang mampu menjamin kesinambungan pembangunan dan kemakmuran Sarawak.
Turut hadir Timbalan Presiden PRS, Dato Majang Renggi; Ketua Wanita PRS Kakus, Olina Joselin; Ketua Wanita PRS Samalaju, Morjorie Majang; Ketua Wanita PRS Kemena, Margaret Anchong; serta Ketua Wanita PRS Tanjung Batu.
Oleh Adi Safarman



