DARO: Seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Itol, di sini, malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.37 malam sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati penunggang motosikal masih tersepit di bawah kereta.
“Anggota bomba kemudian menggunakan beg pengangkat udara untuk mengangkat kereta bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 7.58 malam.
Oleh Akun Giman





