Modal insan berilmu kunci Sarawak maju menjelang 2030

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing menjadi kunci utama dalam memastikan Sarawak muncul sebagai wilayah maju, makmur serta berdaya tahan menjelang 2030.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ibu bapa, pendidik, institusi pendidikan serta anak-anak Sarawak perlu berganding bahu memupuk budaya mencintai ilmu dan memperkasa penguasaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta inovasi.

Menurut beliau, perubahan dunia yang berlaku dengan begitu pantas menuntut generasi muda bukan sekadar mampu menyesuaikan diri, malah tampil sebagai peneraju yang mencipta penyelesaian, meneroka peluang baharu dan membina masa depan Sarawak berasaskan kepakaran, pemikiran kritis serta integriti.

YANG di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

“Saya berharap lebih ramai anak Sarawak mengisi peluang dalam industri berteknologi tinggi, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), penyelidikan dan pembangunan serta bidang strategik yang berkembang pesat di peringkat global.

“Jangan sekadar menjadi pengguna teknologi ciptaan orang lain, sebaliknya berusahalah menjadi pencipta, penyelidik, jurutera, usahawan dan pemimpin yang mampu menghasilkan inovasi demi manfaat masyarakat.

“Itulah asas kepada sebuah Sarawak yang benar-benar maju, berdaya saing dan makmur,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Sarawak 2026, hari ini.

Beliau berkata, kemajuan sesebuah wilayah tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal seperti bangunan tinggi, jaringan jalan raya moden atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya bergantung kepada kualiti rakyat yang berilmu, berintegriti, bersatu padu dan memiliki semangat untuk berkhidmat kepada negeri.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Sarawak agar terus memelihara perpaduan, memperkukuh semangat kebersamaan serta berganding bahu membina sebuah Sarawak yang lebih maju, makmur dan sejahtera demi kesejahteraan generasi masa kini serta akan datang.