KUALA LUMPUR: Kemudahan e-Rayuan Taksiran menerusi portal MyTax yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jun lepas membolehkan pembayar cukai mengemukakan rayuan bukan sahaja terhadap Taksiran Tambahan, malah bagi Taksiran Anggaran, Taksiran Disifatkan dan Taksiran Kurangan.
Pengarah Bahagian Dasar dan Pemantauan, Jabatan Resolusi Pertikaian LHDN, Zanariah Ahmad berkata Taksiran Anggaran (best judgment assessment) dikeluarkan apabila pembayar cukai gagal mengemukakan Borang Nyata atau mengemukakannya selepas tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata Taksiran Disifatkan, sama ada Disifatkan Kena Cukai atau Disifatkan Tidak Kena Cukai, pada asasnya tidak boleh dirayu, namun rayuan masih dibenarkan jika pembayar cukai tidak bersetuju dengan layanan cukai berdasarkan Ketetapan Umum atau pendirian, ketetapan serta amalan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) yang berkuat kuasa ketika taksiran dibuat.

“Taksiran Kurangan juga pada asasnya tidak boleh dirayu kerana ia bukan merupakan taksiran di bawah Seksyen 2 Akta Cukai Pendapatan 1967. Namun, sekiranya terdapat isu baharu yang tidak pernah dibangkitkan sebelum ini, pembayar cukai masih boleh mengemukakan rayuan terhadap taksiran berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio, di sini, hari ini.
Zanariah berkata pemahaman mengenai maksud rayuan taksiran di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 penting bagi memastikan pembayar cukai mengetahui hak serta saluran yang tersedia sebelum mengambil tindakan terhadap sesuatu taksiran.
Katanya, pembayar cukai juga boleh merayu terhadap Notis Pemberitahuan Tidak Kena Cukai (NPTKC) yang dikeluarkan hasil daripada audit atau siasatan, walaupun notis itu bukan notis taksiran.
“Rayuan turut boleh dibuat terhadap cukai pegangan jika pembayar tidak bersetuju dengan pengenaannya, namun cukai berkenaan perlu dijelaskan terlebih dahulu kepada KPHDN sebelum rayuan dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata rayuan juga dibenarkan terhadap jumlah bayaran balik yang dipertikaikan dan mengikut Seksyen 111(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, dan rayuan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis bayaran balik diterima.
Selain itu, katanya, individu yang dilantik sebagai ejen cukai di bawah Seksyen 68(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari selepas menerima notis pelantikan jika tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut.
“Rayuan hendaklah menggunakan Borang Q, iaitu borang yang telah ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang dalam tempoh 30 hari. Jika terlewat, pembayar cukai boleh memohon lanjutan masa melalui Borang N seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 100(1) Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata Zanariah.
Beliau berkata walaupun e-Rayuan Taksiran telah diperkenalkan, prosedur manual melalui Borang Q dan Borang N masih berkuat kuasa kerana sistem itu belum dilaksanakan sepenuhnya, dan pembayar cukai hanya boleh memilih satu saluran secara dalam talian atau borang manual di Pejabat LHDN.
Katanya, bagi memastikan rayuan diproses dengan lancar, pembayar cukai perlu mematuhi tempoh rayuan, menggunakan borang yang betul, memberikan alasan yang jelas serta menyertakan dokumen sokongan serta melengkapkan permohonan dalam satu sesi. – Bernama





