SIBU: Kumpulan Sibu D’Tari muncul juara Pertandingan Tari pada Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Ke-36 Peringkat Zon Tengah selepas menewaskan beberapa kumpulan lain pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Baitulmal Kompleks Islam Sibu, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Sibu D’Tari membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, manakala Kumpulan IPGKTAR muncul naib johan dengan hadiah RM3,500 dan Kumpulan Kastri di tempat ketiga yang menerima RM2,500.
Bagi kategori Lagu Melayu Asli Wanita, Nurhamimah Bohan dinobatkan sebagai johan sekali gus membawa pulang RM1,500, diikuti Nur Syafira Khairina Mahari sebagai naib johan (RM1,000) dan Noorashikin Sekedar di tempat ketiga (RM500).
Sementara itu, Mohd Azirul Afzan Mohd Azmi menjuarai kategori lelaki dengan hadiah RM1,500, mengatasi Mohd Nizam Jamil di tempat kedua (RM1,000) dan Sharfiq Armin Sulaiman di tempat ketiga (RM500).
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Dalam pada itu, Abdullah berkata kerajaan negeri wajar mempertimbangkan pemberian peruntukan yang lebih besar kepada Majlis Seni Sarawak (MSS) serta kelab-kelab kebudayaan bagi memastikan usaha memartabatkan seni dan budaya tempatan dapat diperkasakan.
“Bagi agensi seperti MSS dan kelab-kelab lain yang sentiasa aktif dalam aktiviti budaya ini, saya rasa kerajaan harus memberikan lebih sedikit bajet dan menawarkan hadiah yang lebih besar pada masa akan datang. Ini kerana kita dapat melihat minat warga muda yang amat menakjubkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan sesebuah wilayah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur fizikal, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan usaha memelihara warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat Sarawak.
“Sementara kita melihat ke langit, jangan kita lupa pada budaya asal kita,” katanya sambil menambah penglibatan anak muda dalam program seni dan budaya mampu memperkukuhkan jati diri serta mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
FTLA Ke-36 anjuran MSS bertujuan memartabatkan seni tari tradisional bertemakan budaya kaum Iban serta memperkasakan warisan Lagu Melayu Asli Sarawak.
Penganjuran di Sibu merupakan siri kedua festival tahun ini selepas Zon Utara di Bintulu, sebelum diteruskan ke Zon Selatan di Samarahan.
Oleh Tarani Lanting



