NEW DELHI: Roket pelancar yang dibangunkan syarikat swasta India berjaya menempatkan satelit ke orbit Bumi buat kali pertama, menurut Skyroot Aerospace menerusi platform media sosial X pada Sabtu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Kejayaan itu menjadikan India negara ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dan China yang melaksanakan pelancaran ke orbit menerusi syarikat swasta.
Skyroot Aerospace memaklumkan penerbangan ujian pertama Vikram-1 berjaya selepas roket itu menempatkan muatannya ke orbit pada ketinggian sekitar 450 kilometer.
“Orbit berjaya dicapai,” menurut syarikat itu di X.
Pelancaran berkenaan bertujuan menguji keupayaan roket untuk kegunaan komersial.
Di Eropah, beberapa syarikat termasuk Isar Aerospace turut berusaha melaksanakan pelancaran seumpama itu.
Perdana Menteri Narendra Modi dan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) mengucapkan tahniah kepada syarikat berkenaan.
“Misi ini menandakan pencapaian penting bagi sektor angkasa swasta India dan mencerminkan peningkatan keupayaan ekosistem angkasa negara itu,” menurut ISRO di X.
Roket berbilang peringkat itu berlepas sejurus selepas 12.00 tengah hari (0630 GMT) dari pusat pelancaran angkasa Satish Dhawan di pantai timur India, berdasarkan rakaman langsung stesen penyiaran negara itu.
Skyroot Aerospace memaklumkan syarikat itu membangunkan “kenderaan pelancar atas permintaan” yang direka untuk membawa satelit ke angkasa dalam tempoh singkat.
Vikram-1 yang dibangunkan syarikat pemula itu direka untuk membawa satelit kecil dengan berat sehingga 350 kilogram.
Dalam penerbangan ujian di bawah misi ‘Aagman’, yang bermaksud ketibaan dalam bahasa Sanskrit, roket berkenaan membawa enam muatan termasuk lengan robotik untuk mengumpulkan serpihan angkasa di orbit serta beberapa satelit kecil.
Menurut kerajaan, sektor angkasa India kini melalui fasa perubahan penting.
Tiga tahun lepas, kerajaan menyemak semula dasar angkasa negara bagi membolehkan pihak bukan kerajaan mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai sektor berkenaan. – Bernama





