Kejohanan bola keranjang platform lahir atlet berpotensi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARIKEI: Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah 2026 bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu, memupuk semangat kesukanan serta melahirkan generasi muda yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kejohanan tersebut turut berperanan membentuk sahsiah atlet melalui nilai disiplin, integriti dan semangat berpasukan.

“Melihat semangat dan kesungguhan semua peserta yang berkumpul di sini, saya yakin kejohanan kali ini akan menjadi satu kejohanan yang penuh bermakna.

“Kepada semua pasukan dan atlet yang akan bertanding sepanjang kejohanan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas usaha dan komitmen sehingga berjaya melangkah ke pentas pertandingan ini,” katanya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah 2026 di Stadium Bola Keranjang Tertutup Susur Jambu, baru-baru ini.

Katanya, sama ada mewakili kawasan bandar mahupun luar bandar, setiap atlet telah membuktikan bahawa kejayaan lahir daripada disiplin, ketekunan dan semangat yang tidak mudah luntur.

“Saya berharap agar sepanjang kejohanan ini, anda semua bertanding dengan penuh integriti, menghormati lawan serta menjadikan semangat kesukanan sebagai nilai utama yang mengatasi keinginan untuk meraih kemenangan semata-mata.

“Menang atau kalah bukanlah ukuran sebenar, sebaliknya pengalaman, persahabatan dan nilai murni yang dibina sepanjang kejohanan inilah yang akan menjadi kenangan dan bekalan paling bermakna,” katanya.

Tambahnya, sukan merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental, selain menjadi medium berkesan untuk memupuk kerjasama, saling mempercayai dan semangat berpasukan dalam kalangan generasi muda.

“Saya telah mengambil inisiatif membina gelanggang bola keranjang di beberapa sekolah dalam kawasan Parlimen Sarikei bagi memberi peluang kepada pelajar mempelajari dan meminati sukan ini sejak usia muda.

“Saya percaya, dengan kemudahan yang lengkap dan mudah diakses, lebih ramai anak muda akan mula meminati sukan ini, dan mungkin satu hari nanti, dari gelanggang sekolah akan lahir bintang bola keranjang masa depan Sarikei,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan di Sarawak menerusi penyediaan infrastruktur sukan yang berkualiti dan mudah diakses oleh masyarakat di bandar dan luar bandar.

Pada masa sama, Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pegawai teknikal, urus setia kejohanan, ibu bapa serta para penyokong atas komitmen mereka dalam menjayakan kejohanan tersebut dan menyuntik semangat kepada para atlet.

Beliau berharap kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi pentas melahirkan lebih ramai pemain berbakat, malah terus memperkukuh perpaduan, persahabatan dan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Oleh Earl Anek