HYDERABAD: Sembilan maut dalam letupan di sebuah kilang mercun di negeri Gujarat, India pada Sabtu.
Media tempatan melaporkan enam lagi cedera dalam kejadian di kilang “Talent Fireworks” yang terletak di kawasan Vastral, bandar Ahmedabad.
Kilang itu dilaporkan beroperasi tanpa lesen, manakala pemiliknya ditahan polis.
Perdana Menteri Narendra Modi merakamkan ucapan takziah dan mengumumkan bantuan sebanyak 200,000 rupee (kira-kira RM8,490) daripada Tabung Bantuan Nasional Perdana Menteri (PMNRF) kepada waris setiap mangsa yang terkorban.
Ketua Menteri Gujarat Bhupendra Patel pula berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sebanyak 400,000 rupee kepada setiap keluarga mangsa yang maut.
Bencana berkaitan mercun sering berlaku di India, dengan premis pengeluaran dilaporkan kerap tidak mempunyai langkah keselamatan atau permit yang sewajarnya.- Bernama



