BEKENU: Karnival Rindok Ati 2026 disifatkan sebagai platform strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan, usahawan, pertubuhan, persatuan dan masyarakat dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti, merancakkan ekonomi tempatan serta mempromosikan potensi Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran karnival itu memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat, menikmati perkhidmatan secara terus daripada agensi kerajaan, menyertai aktiviti kekeluargaan serta menyokong produk dan perkhidmatan usahawan tempatan.
“Program seumpama ini turut membuka ruang kepada usahawan untuk memperluaskan rangkaian perniagaan, meningkatkan daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Saya berharap peluang yang disediakan menerusi Karnival Rindok Ati dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Rindok Ati di Arena Sibuti, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih ramai belia Sarawak menceburi bidang keusahawanan, ekonomi digital, industri kreatif, sukan dan pelancongan kerana golongan itu merupakan aset penting dalam memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.
Katanya, belia perlu diperkasakan dengan ilmu, kemahiran, inovasi serta semangat kepimpinan agar mampu menyumbang kepada aspirasi Sarawak Maju Makmur.
“Karnival Rindok Ati berpotensi menjadi acara komuniti yang mampu merancakkan sektor pelancongan domestik menerusi pameran budaya tempatan, hasil kraftangan, makanan tradisional, seni persembahan dan produk usahawan yang mencerminkan identiti unik Sarawak.
“Saya berharap semangat kerjasama yang terjalin dapat diteruskan bagi membangunkan masyarakat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan progresif,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai mengunjungi setiap reruai pameran, menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta menyokong usahawan tempatan agar Karnival Rindok Ati terus menjadi platform yang memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Ripin Lamat, Pemanca Dr Ali Mudin serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu




