KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak meraikan jasa, dedikasi dan sumbangan Ahli Lembaga Pengarah yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan mereka menerusi Majlis Hi-Tea Penghargaan Lembaga Pengarah AZAM Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Majlis yang bertemakan ‘Menghargai Legasi, Menyambut Lembaran Baharu’ (Honouring a Legacy, Embracing a New Chapter) itu diadakan sebagai penghormatan kepada Datu William Patrick Nyigor yang menerajui AZAM sebagai Pengerusi dari 2020 hingga 2026, di samping menghargai jasa Ahli Lembaga Pengarah yang telah menyumbang kepada pembangunan organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah, rakan strategik, wakil agensi kerajaan, pihak berkepentingan, wakil media, barisan pengurusan dan warga kerja AZAM Sarawak, sekali gus memperlihatkan penghargaan bersama terhadap legasi kepimpinan organisasi yang ditubuhkan sejak tahun 1983.
Sepanjang enam tahun menerajui AZAM, Datu William Patrick Nyigor berjaya memimpin organisasi itu melalui pelbagai fasa transformasi yang memperkukuh peranannya sebagai sebuah organisasi komunikasi strategik di Sarawak.
Di bawah kepimpinan beliau, AZAM memperluaskan pelaksanaan komunikasi digital, komunikasi partisipatori, pembangunan kapasiti serta memperkukuh kolaborasi strategik bersama pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi masyarakat.
Beliau turut memperkenalkan pendekatan yang menitikberatkan tadbir urus yang baik, pengurusan sumber secara berhemah serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Ketika menyampaikan ucapan pada AZAM Gawai Gathering 2026 bertemakan ‘Berindik Ka Adat, Bejalai Ka Pemansang’, beliau menegaskan aspirasi ‘Gerakan ke Arah Kemajuan’ (Movement for Progress) sebagai tunjang kepada hala tuju organisasi.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah organisasi bukan diukur melalui saiznya semata-mata, sebaliknya keupayaan memperoleh kepercayaan masyarakat menerusi pelaksanaan program yang berkualiti dan berkesan.
“Kita tidak perlu menjadi organisasi yang paling besar, tetapi perlu menjadi organisasi yang paling dipercayai. Teruskan menjadi sebuah aspirasi ‘Gerakan ke Arah Kemajuan’ (Movement for Progress) yang membawa perubahan bermakna kepada masyarakat,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan seluruh warga AZAM atas sokongan serta komitmen yang diberikan sepanjang beliau memimpin organisasi.
Majlis sama turut mengiktiraf sumbangan kolektif Ahli Lembaga Pengarah yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus, merangka hala tuju strategik serta memastikan AZAM terus berkembang sebagai organisasi yang relevan dan memberi impak kepada masyarakat.
Pada majlis itu juga, Datuk Ismawi Ismuni diumumkan secara rasmi sebagai Pengerusi baharu AZAM Sarawak, menandakan kesinambungan kepimpinan organisasi.
Datuk Ismawi bukanlah individu asing dalam keluarga AZAM kerana beliau pernah berkhidmat hampir 16 tahun sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Bendahari Kehormat dan Timbalan Pengerusi.
Pengalaman luas yang dimiliki diyakini mampu memperkukuh lagi peranan AZAM dalam mendepani cabaran baharu serta memperluaskan fungsi komunikasi strategik yang selari dengan perkembangan semasa.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Pengerusi, Datuk Ismawi menegaskan komitmennya untuk meneruskan legasi kepimpinan terdahulu sambil memperkasakan hala tuju strategik organisasi.
Beliau berkata, AZAM akan terus memperkukuh komunikasi strategik, memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak serta memastikan organisasi kekal relevan dalam menyampaikan manfaat kepada masyarakat Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata majlis penghargaan tersebut menjadi simbol penghormatan kepada pemimpin-pemimpin yang telah membentuk identiti dan kekuatan organisasi sepanjang lebih empat dekad penubuhannya.
Beliau berkata, penyampaian cenderamata kepada mantan Ahli Lembaga Pengarah serta simbolik menyambut barisan kepimpinan baharu memperlihatkan komitmen AZAM untuk meneruskan identitinya sebagai aspirasi ‘Gerakan ke Arah Kemajuan’ (Movement for Progress), sekali gus memperkukuh tadbir urus, memperluaskan jaringan kerjasama strategik dan memperkasa masyarakat melalui komunikasi yang berkesan demi pembangunan mampan Sarawak.
Oleh Adi Safarman




