SIMANGGANG: Seramai 37,000 individu di Bahagian Sri Aman dijangka menerima suntikan vaksin untuk fasa kedua pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr. Euphrasia Bari berkata, fasa kedua ini telah bermula minggu lepas dengan 588 individu dipilih sebagai kumpulan pertama untuk menerima suntikan vaksin tersebut sehingga semalam.
“Kumpulan pertama berkenaan telah pun menerima suntikan vaksin menerusi program yang dijalankan selama lima hari bermula minggu lepas (hingga 27 April) bertempat di dua fasiliti terpilih dalam bandar ini.
“Dua fasaliti berkenaan adalah di Dewan Suarah dengan bilangan penerima seramai 264 orang, manakala baki 324 orang lagi menerima suntikan bahan itu di hospital di sini,” kata beliau.
Euphrasia ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Dewan Suarah Sri Aman turut memberitahu kumpulan pertama yang menerima suntikan berkenaan adalah terdiri daripada individu yang tinggal di kawasan bandar ini.
Sementara itu, pihak kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan turun padang ke kawasan luar bandar dan pedalaman di sini untuk memberi suntikan vaksin kepada penerima.
“Bagaimanapun saya berharap agar para penerima suntikan vaksin dapat memenuhi temu janji yang telah ditetap selepas diberitahu sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau dimaklumkan secara manual oleh pihak kesihatan.
“Jika ada individu-individu yang tidak dapat memenuhi temu janji atas sebab yang tidak dapat dielakkan maka mereka haruslah memaklumkan kepada pihak kesihatan atau Pejabat Daerah terdekat untuk tindakan lanjut,” kata Euphrasia.
Beliau turut menambah sejumlah 156 lokaliti luar bandar dan pedalaman Bahagian Sri Aman telah di kenal pasti untuk pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima bersempena program tersebut.
Hadir sama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di dewan suarah berkenaan adalah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit.
Oleh VALENTINE NGUMBANG