KUCHING: Sayu dan pilu pastinya dirasai oleh warga Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak apabila menyaksikan proses meroboh bangunan lama JaPen Sarawak bermula 26 April sehingga 2 Mei 2021 yang pastinya mengimbau 1001 kenangan terutama buat anggota JaPen Sarawak yang pernah berkhidmat di sini.
Bangunan yang terletak di Jalan Masjid merupakan Ibu Pejabat JaPen Sarawak selama lebih 40 tahun sebelum diambil alih oleh Jabatan Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan susulan siapnya bangunan baharu Japen Sarawak yang berada di Jalan Diplomatik, Petrajaya pada tahun 2006.
Walau bagaimanapun, Pejabat Penerangan Bahagian Kuching Dan Samarahan telah melalui proses penstrukturan semula jabatan yang mana pada tahun 2018, semua Pejabat Penerangan Bahagian ditutup dan hanya mengekalkan Pejabat Penerangan Daerah pada ketika itu.
Justeru itu, bangunan lama JaPen Sarawak tersebut telah mencatat sejarah bahawa pentadbiran yang terakhir menduduki bangunan tersebut adalah Jabatan Penerangan Daerah Kuching yang juga telah berpindah daripada bangunan lama tersebut secara rasmi pada 15 Jun 2020 ke lokasi baharunya di sebuah premis bangunan kedai di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Bagi Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Magdellina Alfred Jeho, meskipun baru lebih setahun beliau bekerja di Pejabat Penerangan Daerah Kuching, namun beliau berasa agak sedih kerana baginya pejabat lama itu menyimpan pelbagai kenangan pahit manis kerana di situlah beliau mula menyertai JaPen Sarawak di mana sebelumnya beliau bergelar Pegawai Perhubungan Awam di salah sebuah hospital di Semenanjung Malaysia.
“Sebelum pejabat ini dijadikan sebagai premis Pejabat Penerangan Daerah Kuching, ia sebenarnya merupakan lokasi asal ibu pejabat JaPen Sarawak suatu ketika dahulu. Bangunan lama ini telah dihuni lebih daripada 40 tahun dan pegawai yang bertugas di sini sentiasa silih berganti.
“Sebelum proses perpindahan lokasi pejabat, Pejabat Penerangan Daerah Kuching telah diduduki oleh 19 orang anggota JaPen termasuk saya sendiri,” kongsi Magdellina.
Salah seorang anggotanya, Zainab Othman, 56 tahun ketika ditanya tentang pengalamannya bekerja di lokasi lama Pejabat Penerangan Daerah Kuching Jalan Masjid menyatakan bahawa antara kenangan manis yang beliau tidak dapat lupakan adalah ketika warga JaPen menerima kunjungan mantan Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang meninjau Pejabat Penerangan Daerah Kuching Jalan Masjid semasa Pilihanraya Umum suatu masa dahulu.
Zainab yang sudah berkhidmat selama 37 tahun merupakan salah seorang ‘orang lama’ dalam JaPen turut menyimpan memori manis di bangunan pejabat Jalan Masjid ini.
“Semasa Ibu Pejabat Penerangan Negeri Sarawak masih beroperasi di Jalan Masjid dahulu saya mula berkhidmat sebagai kerani yang dibayar gaji hari. Kemudiannya, pada tahun 1996 saya telah ditawarkan sebagai penjawat awam tetap dan terus berkhidmat di pejabat ini sehingga sekarang,” ceritanya.
Turut berkongsi nostalgia bangunan lama Pejabat Penerangan Daerah Kuching Jalan Masjid adalah pesara JaPen, Mariyati Oerip Marsono, 59, yang juga merupakan mantan Pegawai Penerangan Daerah Kuching dari tahun 2007 sehingga 2009.
“Antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan semasa mentadbir Pejabat Penerangan Daerah Kuching adalah apabila harus menyelia sejumlah anggota JaPen daerah yang paling ramai berbanding di daerah lain serta menyelaras kawasan liputan unit bergerak jabatan yang agak luas.
“Seingat saya, Pejabat Penerangan Daerah Kuching ketika itu memikul tanggungjawab untuk memantau kawasan DUN yang paling banyak dan pastinya gerak kerja juga agak mencabar,” kata Mariyati.
Menurut Mariyati, bangunan lama JaPen Sarawak di Jalan Masjid ini memiliki keunikan tersendiri kerana kedudukannya yang strategik di tengah Bandaraya Kuching serta berdekatan dengan Padang Merdeka yang sering menjadi lokasi program besar negeri.
“Oleh kerana itulah setiap kali adanya program besar kerajaan di Padang Merdeka, anggota Pejabat Penerangan Daerah Kuching sering diarahkan untuk turut serta menjalankan tugasan,” kata beliau. Apa yang pasti, memori ketika berkhidmat di bangunan lama Japen Sarawak di Jalan Masjid yang telah wujud sejak lebih separuh abad ini akan sentiasa terpahat dalam ingatan mereka yang pernah berkhidmat sebagai anggota JaPen di situ.