Sarawak rugi selagi tiada kerangka undang-undang pemindahan karbon

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SIDANG MEDIA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas lawatan kerja ke Tapak Skim Penempatan Kampung (SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray Fasa 1, Daro, hari ini.

DARO: Sarawak berpotensi kehilangan peluang ekonomi daripada industri penyerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) selagi tiada kerangka perundangan di peringkat Persekutuan yang membolehkan pemindahan karbon merentasi sempadan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata negeri ini mempunyai kapasiti besar untuk menyimpan karbon di telaga minyak yang telah tamat pengeluaran, namun kekangan perundangan menyebabkan potensi tersebut masih belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak telah mempunyai undang-undang berkaitan perubahan iklim serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, namun pelaksanaannya memerlukan kerangka kawal selia di peringkat Persekutuan.

“Kita sebenarnya rugi kerana ramai yang mahu menyimpan karbon di Sarawak memandangkan kita mempunyai banyak telaga minyak yang telah tamat pengeluaran.

“Tetapi sehingga kini belum ada kerangka undang-undang yang membolehkan karbon dipindahkan merentasi sempadan negara untuk disimpan di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Tapak Skim Penempatan Kampung (SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray Fasa 1, di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyediaan kerangka perundangan berkenaan.

Katanya, Sarawak merupakan antara kawasan terbesar di rantau ini yang berpotensi menjadi hab penyimpanan karbon menggunakan telaga minyak yang telah ditamatkan operasinya.

Menurut beliau, penyimpanan karbon itu bukan sahaja membantu usaha mengurangkan pelepasan karbon, malah mampu menjana hasil baharu kepada negeri melalui caj yang dikenakan kepada pihak yang menggunakan kemudahan tersebut.

“Kalau karbon disimpan di tanah kita, sudah tentu ada caj yang dikenakan. Ini akan menjadi sumber pendapatan baharu kepada negeri,” katanya.

Abang Johari berkata kelulusan rangka kerja berkenaan bergantung kepada Kerajaan Persekutuan kerana ia melibatkan pemindahan karbon merentasi sempadan negara yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.