Nasi dabai, air Orkid bakal jadi sajian istimewa AirBorneo

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

NASI dabai (gambar hiasan) dan air berjenama Orkid antara sajian makanan tempatan Sarawak yang dirancang untuk diperkenalkan kepada penumpang AirBorneo sebagai usaha memperkenalkan identiti dan keunikan negeri itu ke persada dunia.

DARO: AirBorneo bakal memperkenalkan identiti dan keunikan Sarawak ke persada dunia menerusi sajian serta produk makanan dan minuman tempatan, termasuk nasi dabai dan air berjenama Orkid, yang dirancang untuk dihidangkan kepada penumpang syarikat penerbangan negeri itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bukan sahaja menawarkan pengalaman berbeza kepada penumpang, malah menjadi medium untuk mempromosikan produk tempatan dan keunikan Sarawak kepada pelancong.

Beliau berkata, setiap penerbangan AirBorneo akan membawa elemen Sarawak menerusi sajian dan produk tempatan yang mampu memperkenalkan cita rasa negeri itu kepada penumpang dari dalam dan luar negara.

“Dalam penerbangan kita nanti, kita mahu bekalkan nasi dabai. Air pun air keluaran Sarawak, jenama Orkid. Semua ini kita mahu pamerkan kepada penumpang dan pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Daro, hari ini.

Menurut beliau, penubuhan AirBorneo juga bertujuan menyediakan pilihan penerbangan yang lebih baik kepada rakyat Sarawak, terutama ketika musim cuti apabila harga tiket lazimnya meningkat.

Katanya, keadaan itu boleh menyukarkan keluarga yang ingin melakukan perjalanan apabila kos penerbangan meningkat, khususnya bagi mereka yang melibatkan beberapa orang ahli keluarga.

“Kalau hendak bercuti membawa keluarga, harga tiket kadangkala meningkat tinggi. Sebab itu kita wujudkan penerbangan sendiri supaya rakyat ada pilihan,” katanya.

Abang Johari berkata, AirBorneo turut berpotensi merancakkan ekonomi tempatan apabila peningkatan kemasukan pelancong memberi manfaat kepada sektor perniagaan, makanan, hospitaliti dan produk komuniti.

Katanya, dengan kemudahan penerbangan yang lebih baik, pelancong yang tiba di Kuching berpeluang meneroka kawasan lain di Sarawak, termasuk Daro yang terkenal dengan hasil tempatan seperti ikan terubuk.

“Apabila pelancong datang, mereka akan bergerak ke kawasan seperti Daro, mencari hasil tempatan dan ini akan menambah peluang perniagaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, AirBorneo dirancang untuk menghubungkan Sarawak dengan destinasi domestik, ASEAN dan Asia Timur, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi serta memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Menurutnya, Sarawak juga berpotensi menghubungkan laluan penerbangan ke destinasi seperti Pulau Jeju, Korea Selatan yang terkenal dengan geopark yang diiktiraf UNESCO, seiring dengan status Sarawak sebagai Delta Geopark.

“Bila kita ada penerbangan sendiri, lebih ramai pelancong datang dan ekonomi kita akan mendapat manfaat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, AirBorneo dijangka memperluas operasi penerbangan secara berperingkat dengan sasaran mengendalikan enam laluan, merangkumi tiga destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa, menjelang akhir 2026.

Bagi fasa pengembangan itu, AirBorneo merancang menggunakan pesawat Boeing 737-800 menerusi kaedah pajakan basah (wet lease), dengan Kuching berperanan sebagai hab utama operasi penerbangan jet serantau.

Syarikat penerbangan milik Sarawak itu turut dirancang menghubungkan negeri ini dengan destinasi domestik, ASEAN dan Asia Timur, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan udara, meningkatkan kemasukan pelancong serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat dan pemain industri tempatan.

Oleh Afiq Sallehi