
KUCHING: Seorang perunding feng shui, Alex Ling, tampil menjelaskan bahawa beliau tidak pernah meminta wang daripada rakan-rakan atau ahli keluarganya selepas suaranya didakwa disalah guna dalam satu sindiket penipuan.
Bercakap pada sidang media bersama Ketua Biro Aduan Awam, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo, Ling berkata kejadian itu disedarinya pada 14 Julai 2026 kira-kira 12.22 tengah hari ketika berada di sebuah restoran vegetarian di Tabuan Jaya.
Beliau berkata, telah menerima panggilan daripada rakannya yang dikenali sebagai Mr Soon, yang memaklumkan bahawa beliau sebelum itu menerima panggilan telefon kononnya daripada Ling yang meminta bantuan kewangan.
Menurut Ling, pemanggil tersebut mendakwa seorang ahli keluarganya memerlukan pembedahan di sebuah hospital swasta dan meminta RM4,500 dipindahkan ke akaun bank atas nama ‘Kee’.
Ling berkata, beliau terkejut kerana tidak pernah menghubungi rakannya untuk meminjam wang, malah tiada ahli keluarganya yang sakit atau memerlukan pembedahan.
Beliau kemudian membuat laporan polis bagi menjelaskan keadaan sebenar dan menggesa rakan-rakan serta saudara-mara supaya tidak mempercayai panggilan sedemikian atau membuat sebarang pemindahan wang tanpa pengesahan.
Ling berkata beliau turut meminta seorang rakannya berhubung dengan pemanggil tersebut bagi mendapatkan nombor akaun bank dan merakam perbualan berkenaan.
“Suara itu memang kedengaran seperti suara saya, tetapi itu bukan saya,” katanya sambil percaya sindiket berkenaan mungkin menggunakan teknologi untuk meniru suaranya.
Sementara itu, Foo berkata Ling bernasib baik kerana tiada seorang pun rakannya menjadi mangsa dan memindahkan wang kepada sindiket tersebut.
Beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa mengesahkan sebarang permintaan wang yang diterima melalui panggilan telefon, walaupun suara pemanggil kedengaran seperti individu yang dikenali.
Menurutnya, sepanjang minggu ini sahaja, tiga kes seumpama itu telah dilaporkan. Dua daripadanya melibatkan penjaja yang menerima panggilan kononnya daripada rakan penjaja yang ingin meminjam wang, manakala satu kes berjaya memperdayakan mangsa sehingga wang dipindahkan.
Foo menasihatkan orang ramai supaya menghubungi individu berkenaan melalui nombor telefon yang biasa digunakan atau saluran komunikasi lain yang dipercayai sebelum membuat sebarang pembayaran.
Oleh Connie Chieng




