ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kesemua pelajar Sarawak yang dihantar pulang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke kediaman masing-masing di kawasan zon merah atau kuning akan dikuarantin di rumah mereka selama 14 hari serta diberikan tag gelang tangan bagi memantau pergerakan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut dan memantau pengurusan ketibaan kumpulan pertama pelajar Sarawak yang pulang dari Semenanjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), pergerakan harian pelajar itu akan dipantau oleh Jabatan Pertahanan Awam.
“Seramai 261 pelajar yang balik ke rumah masing-masing di Kuching, Samarahan dan Serian yang merupakan zon Merah dan Kuning akan disaring serta diperiksa kesihatan pada hari ketujuh ketibaan.
“Manakala bagi 26 orang lagi yang balik ke kawasan zon hijau akan dikuarantin di hotel di Kuching selama 14 hari dan akan dilakukan saringan pada hari kesepuluh ketibaan.
“Saya juga berpuas hati melihat bagaimana urusan dan persiapan untuk menyambut mereka ini kerana ia cukup teratur dan pelajar akur menerima peraturan yang diberikan kepada mereka,” jelasnya.
Seramai 287 pelajar tersebut adalah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak dihantar pulang oleh Kerajaan Malaysia menerusi penerbangan MH2524, selamat tiba di Kuching pada jam 12.20 tengah hari.
Mereka adalah antara 7,000 pelajar Sarawak yang terkandas di universiti di Semenanjung sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lepas.
Jelas Uggah, pelajar yang diberikan tag gelang tangan itu adalah mereka yang telah menjalani kuarantin di kampus selama 14 hari dan dianggap terasing daripada masyarakat lain.
Uggah turut mengingatkan pelajar tersebut supaya terus kekal tinggal di rumah sebagai langkah berjaga-jaga demi kebaikan keluarga dan komuniti mereka sendiri terutamanya di zon hijau bagi mengekalkan kawasan tersebut bebas Covid-19.
“Sebelum ini kita sudah ada kes yang mereka kembali dari luar dijangkiti virus itu kerana orang yang positifi ini jika dibenarkan bergerak ke sana ke sini akan menjangkiti masyarakat lain tanpa disedari.
“Kita mempunyai kes di Debak apabila seseorang yang positif Covid-19 dihantar ke hospital dan telah diuji dua kali tetapi hasilnya adalah negatif dan selepas itu beliau dihantar pulang dan dia bergerak dan selepas dua hari beliau menjalani ujian ketiga yang membuktikan beliau adalah positif.
“Oleh itu, Jabatan Kesihatan terpaksa bertindak mengesan kira-kira 15 kenalan rapat beliau dan mereka turut menjalani kuarantin,” jelasnya.
Uggah berkata walaupun tindakan dapat diambil terhadap mereka yang memakai tag gelang tangan itu yang melanggar perintah kuarantin, namun mereka harus mematuhinya serta membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak.
“Lakukan peranan anda untuk menolong diri sendiri, keluarga dan masyarakat dan jika terdapat simptom segeralah menghubungi Jabatan Kesihatan berdekatan,” katanya.
“Perintah kuarantin selama 14 hari adalah atas nasihat pakar perubatan yang menyatakan sesiapa yang dijangkiti dapat dikesan dalam tempoh tersebut.
“Kita juga mempunyai sejumlah orang positif Covid-19 yang datang dari Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kuala Lumpur.
“Bayangkan jika mereka tidak dikuarantin, maka risiko mereka menjangkiti masyarakat adalah besar,” katanya sambil menambah Sarawak masih memiliki 29 daerah zon hijau yang harus dilindungi.