Pengguna media sosial perlu peka guna imej Jalur Gemilang – JAPEN

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan agar menggunakan imej Jalur Gemilang dengan penuh rasa tanggungjawab dan kepekaan bagi memelihara dan menghormati kedudukan bendera negara itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Faizal Adanan berkata, rakyat Malaysia seharusnya cakna dengan penggunaan Jalur Gemilang dalam apa jua bentuk termasuk menerusi media sosial agar tidak menimbulkan kekeliruan atau menjejaskan penghormatan terhadap lambang negara.

Walaupun terdapat kemungkinan imej Jalur Gemilang kelihatan terbalik apabila menggunakan fungsi kamera tertentu, contohnya ketika berswafoto, beliau berkata pengguna perlu memastikan bendera itu dipaparkan dalam kedudukan yang betul sebelum dikongsi kepada umum.

JALUR Gemilang. Foto Bernama.

“Yang menjadi isu ialah perbuatan bendera terbalik itu dilakukan dengan sengaja. Kalau seseorang itu sudah tahu perkara itu tidak betul, tetapi masih melakukannya, itu yang menjadi masalah.

“Tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham, mencetuskan kemarahan serta menyinggung perasaan masyarakat kerana Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan dan maruah negara,” katanya ketika ditemu bual tentang Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Bernama Radio, hari ini. 

Faizal berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ialah perayaan untuk semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama atau fahaman politik, malah setiap rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara.

Mengulas mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, beliau berkata tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ memperlihatkan kesinambungan tema sambutan lepas dengan fokus terhadap usaha menyantuni rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

“Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam sidang media pada 26 Jun lepas mengumumkan bahawa logo Malaysia MADANI terus dikekalkan untuk sambutan tahun ini, logo dan tema ini ialah manifestasi kepada corak pentadbiran semasa. Ia mesti ada kesinambungan supaya kita dapat melihat hala tuju dan aspirasi yang ingin dicapai,” katanya.

Faizal berkata, Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 19 Julai ini akan membawa beberapa pengisian menarik termasuk persembahan kumpulan gendang, koir serta pengenalan lagu tema HKHM 2026.

“Kita akan memperkenalkan lagu tema baharu untuk sambutan HKHM 2026. Siapa yang nyanyi, apa tajuk lagunya. Nantikan elemen kejutannya pada 19 Julai nanti,” katanya.

Orang ramai digalakkan mengikuti majlis itu secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta platform media sosial rasmi Kementerian Komunikasi, JAPEN dan portal Merdeka360. – Bernama