Rakyat Malaysia rugi RM5.37 bilion akibat penipuan dalam talian sejak 2024 – Chong Chieng Jen

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

KUCHING: Rakyat Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM5.37 bilion akibat penipuan dalam talian bagi tempoh 2024 hingga Mei 2026, dengan penipuan pelaburan mencatatkan hampir separuh daripada jumlah kerugian tersebut, kata Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen.

Chong berkata, angka itu diperoleh menerusi jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri di Parlimen hari ini yang menunjukkan penipuan pelaburan merekodkan kerugian sebanyak RM2.68 bilion, iaitu 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, penipuan telekomunikasi mencatatkan kerugian sebanyak RM1.54 bilion (28.7 peratus), diikuti jenayah kewangan elektronik RM660.64 juta (12.3 peratus), penipuan e-dagang RM250.81 juta (4.6 peratus), penipuan pinjaman RM138.92 juta (2.5 peratus) dan penipuan cinta RM111.08 juta (2.0 peratus).

Menurutnya, jumlah kerugian itu amat membimbangkan kerana purata kerugian akibat penipuan dalam talian kini mencecah RM2.2 bilion setahun, sekali gus memberi kesan kewangan yang besar kepada mangsa, termasuk pesara yang kehilangan simpanan sepanjang hayat.

Chong mengiktiraf usaha kerajaan menubuhkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), iaitu pusat sehenti yang menghimpunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta institusi perbankan bagi mempercepatkan tindakan membekukan aliran wang sebaik sahaja laporan diterima.

Beliau berkata, polis turut memperhebat usaha mengesan akaun keldai serta menyiasat sindiket penipuan.

Bagaimanapun, beliau berkata, penipuan dalam talian masih berleluasa walaupun pelbagai langkah telah diperkenalkan, sekali gus menunjukkan perlunya tindakan yang lebih tegas dan berkesan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan transaksi dalam talian, tidak mudah mempercayai skim pelaburan atau iklan di internet, serta mendapatkan pengesahan daripada pihak bank atau individu yang mahir dalam teknologi digital sebelum membuat sebarang pembayaran.

Pada masa sama, Chong sekali lagi menggesa pihak bank memperkukuh langkah keselamatan dengan memperkenalkan penggunaan pengimbas cap jari dan pembaca MyKad bagi semua pengeluaran wang di mesin ATM, selain mewujudkan sistem amaran untuk mengesan transaksi pengeluaran tunai yang luar biasa atau berulang.

Beliau turut mencadangkan supaya undang-undang dipinda bagi membolehkan bank dipertanggungjawabkan, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya, sekiranya membenarkan akaun keldai digunakan dalam transaksi penipuan.

Oleh Connie Chieng