
PEGAWAI dan anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak mengikuti Taklimat Memimpin Pasukan Cemerlang bagi memperkukuh strategi penguatkuasaan di peringkat negeri. Foto JPJ Sarawak
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan Taklimat Memimpin Pasukan Cemerlang Bahagian Penguatkuasa Negeri Sarawak bagi memperkukuh pelaksanaan strategi penguatkuasaan menerusi penyelarasan tindakan, pemantapan prosedur operasi serta penyampaian hala tuju penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak, Fifi Suhesty Asmuni, dan dihadiri pegawai serta anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak secara fizikal di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Kompleks JPJ Negeri Sarawak.
Pada masa sama, ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua operasi JPJ dari seluruh Sarawak turut mengikuti sesi berkenaan secara dalam talian.
Penganjuran taklimat itu bertujuan memperkukuh pelaksanaan strategi penguatkuasaan di peringkat negeri, selaras dengan aspirasi jabatan untuk meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.
Selain memperjelas hala tuju penguatkuasaan, sesi tersebut turut memberi penekanan terhadap penyelarasan prosedur operasi serta pengukuhan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
JPJ Sarawak berharap segala panduan serta penekanan yang disampaikan menerusi taklimat itu dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas di lapangan, sekali gus memperkasakan keberkesanan penguatkuasaan, memperkukuh integriti warga kerja serta memastikan setiap operasi dilaksanakan secara profesional demi keselamatan semua pengguna jalan raya.



