Pemuliharaan sungai dipergiat tingkat kecekapan sistem saliran

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SERAH PROJEK… Wong Soon Mee (kiri) mewakili Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyaksikan penyerahan siap projek pemuliharaan sungai dan anak sungai di Jalan Sing Hua, Sungai Bakong, semalam. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

BINTANGOR: Projek pemuliharaan sungai dan anak sungai di kawasan Parlimen Sarikei terus dipergiat sebagai usaha meningkatkan kecekapan sistem saliran serta memastikan sungai dan anak sungai sentiasa berada dalam keadaan baik.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk memastikan sistem saliran dapat berfungsi dengan baik dan memberikan manfaat kepada penduduk dalam jangka panjang.

“Pelaksanaan projek pemuliharaan sungai merupakan antara inisiatif berterusan bagi meningkatkan kecekapan sistem saliran dan memastikan sungai serta anak sungai sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Usaha ini bukan sahaja melibatkan kerja pemuliharaan di lokasi yang dikenal pasti, malah pemantauan berterusan turut dijalankan bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan tindakan susulan.

“Pemuliharaan sungai perlu dilaksanakan secara berterusan supaya kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh penduduk dalam jangka panjang,” katanya ketika dihubungi media, semalam.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, pendekatan berterusan itu penting bagi memastikan sistem saliran sentiasa berfungsi dengan baik, di samping mengurangkan risiko masalah saliran yang boleh menjejaskan kehidupan penduduk.

“Kerja pemuliharaan bukan sahaja tertumpu kepada projek yang sedang dilaksanakan, malah melibatkan pemantauan berkala bagi mengenal pasti lokasi lain yang memerlukan perhatian segera,” katanya.

Mewakili beliau pada penyerahan projek kerja pemuliharaan sungai di Jalan Dak Sieng, Bakong, semalam, ialah Wong Soon Mee.

Pada hari yang sama, turut diadakan penyerahan siap projek pemuliharaan sungai dan anak sungai di Jalan Sing Hua, Sungai Bakong bersama Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, Abd Rashid.

Selepas penyerahan itu, tinjauan tapak turut diadakan di kawasan saliran di belakang rumah panjang Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan bagi menilai keperluan pelaksanaan kerja pemuliharaan pada masa akan datang.

Beliau berharap usaha pemuliharaan sungai yang dilaksanakan secara berterusan akan terus memperkukuh sistem saliran di kawasan Parlimen Sarikei serta memastikan kemudahan infrastruktur awam sentiasa berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan masyarakat.

Oleh Earl Anek