
BINTANGOR: Pendekatan turun padang terus menjadi amalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memastikan pandangan dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi mendapat perhatian sewajarnya.
Beliau mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, termasuk Rumah Jonathan Ugek di Sungai Janting dan Rumah Peria di Ulu Binatang, selain menghadiri sambutan Gawai Antu di Rumah Siang, Sungai Meradong.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh tuai rumah, ketua masyarakat, penduduk rumah panjang dan tetamu dalam suasana penuh kemeriahan serta semangat kekeluargaan.
“Pendekatan turun padang akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap suara rakyat didengari dan setiap keperluan pembangunan diberikan perhatian sewajarnya.
“Lawatan seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat, malah memberi peluang kepada saya untuk mendengar sendiri perkembangan semasa dan keperluan penduduk bagi memastikan pelaksanaan pembangunan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi media baru-baru ini.
Semasa menghadiri sambutan Gawai Antu di Rumah Siang, beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat kerana terus memelihara adat, budaya dan warisan masyarakat Iban yang menjadi identiti serta kebanggaan Sarawak.
“Saya berharap tradisi yang diwarisi turun-temurun ini akan terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar kekal relevan serta menjadi lambang perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.
“Saya akan terus bekerjasama dengan ketua masyarakat dalam memperkukuh pembangunan luar bandar, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan kawasan DUN Meradong terus menikmati kemajuan yang mampan.
“Hubungan erat antara saya dengan masyarakat merupakan asas penting dalam merancang pembangunan yang memenuhi keperluan rakyat, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh komuniti di kawasan Meradong,” katanya.
Oleh Earl Anek




