KUALA LUMPUR: Memandangkan dunia penerbangan bersedia untuk mencapai pemulihan pasca pandemik maka, permintaan bagi membeli pesawat juga sebahagian besarnya akan menumpukan model yang lebih ekonomi bagi kewangan syarikat penerbangan dan kemampanan jangka panjang.
Ketua Pengarah Persatuan Penerbangan Asia-Pasifik, Subash Menon berkata, syarikat penerbangan mengalami kerugian selain hutang tertunggak yang terpaksa ditanggung sejak pandemik Covid-19 mula melanda.
Beliau berkata, penstrukturan semula kumpulan pesawat secara besar-besaran dijangka tidak dilaksanakan oleh mana-mana pengendali syarikat penerbangan.
Ini kerana langkah untuk membuat pesanan baharu atau menyusun semula kumpulan pesawat memerlukan pelaburan besar dengan syarikat penerbangan akan menanggung hutang yang banyak untuk membayar balik bagi beberapa tahun pertama, katanya.
“Tumpuan syarikat penerbangan benar-benar terarah kepada pesawat yang lebih ekonomi iaitu cekap kos dan bahan bakar, memandangkan pasaran telah mengalami penyusutan sejak 14 hingga 15 bulan lepas…mereka juga menekankan faktor kelestarian bagi mendorong pengurangan jejak karbon.
“Saya berpandangan masa depan berada pada hala tuju itu, pesawat lebih optimum untuk memaksimumkan perolehan selain lebih mesra iklim,” katanya pada webinar Airbus Malaysia Connect di sini pada Khamis.
Subash berkata demikian semasa sesi bertajuk ‘Memulakan Kembali Penerbangan dalam Dunia Pasca-COVID’ yang dimudah cara oleh Ketua Negara Airbus Malaysia, Raymond Lim.
Dalam sesi yang sama, Presiden Airbus Asia-Pasifik, Anand Stanley pula berkata, tumpuan pembuat pesawat lebih kepada pemulihan berbanding peningkatan permintaan.
Beliau berkata, pemulihan dijangka bermula daripada pasaran domestik dan disusuli pasaran perjalanan jarak jauh.
Beberapa pesawat yang beroperasi pada masa ini kebanyakannya merupakan pesawat baharu dan cekap memandangkan syarikat penerbangan mendapati ia lebih cekap kos dan mampan, sekali gus keadaan itu lebih baik untuk operasi mereka, katanya.
Beliau berkata, apabila mencari pesawat baharu, model A350 dan neo seperti A330neo dan A320neo menjadi pilihan syarikat penerbangan, didorong sebahagiannya oleh kecekapan manakala pesawat generasi lebih baharu seperti A321XLR akan menjadi pilihan terbaik bagi dunia pasca pandemik.
“Kami berpandangan kecekapan merupakan faktor pengubah justeru, A330 neo dan A350neo akan kembali menjadi pilihan dan kita akan mula menyaksikan pemulihan dengan pesanan akan mula diterima.
“Tumpuan kami kini bukan kepada pesanan sebaliknya bekerjasama dengan pelanggan, membantu mereka menerusi penyelesaian membantu ke arah mencapai pemulihan secepat yang mungkin,” katanya.- Bernama