APM musnahkan sarang tebuan bersaiz besar di Kampung Tengah Betong

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BETONG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong berjaya memusnahkan sebuah sarang tebuan bersaiz besar di belakang sebuah rumah di Kampung Tengah, di sini, malam tadi, selepas menerima aduan daripada orang awam.

Menurut kenyataan media APM Betong, pihaknya menerima panggilan berhubung kewujudan sarang tebuan yang berpotensi mengancam keselamatan penghuni rumah serta penduduk di kawasan sekitar.

Susulan itu, sepasukan anggota APM Betong digerakkan ke lokasi bagi menjalankan penilaian sebelum melaksanakan operasi pemusnahan.

APM musnahkan sarang tebuan bersaiz besar di Kampung Tengah Betong

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sarang tebuan bersaiz kira-kira sebesar bola sepak di belakang rumah pengadu.

“Operasi pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah semburan racun serangga (Ridsect) dengan mematuhi prosedur serta langkah keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Operasi berkenaan berjaya diselesaikan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Seramai tiga anggota APM Betong terlibat dalam operasi itu dengan bantuan sebuah kenderaan operasi serta kelengkapan perlindungan diri yang bersesuaian.

APM Betong turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menemui sarang tebuan atau serangga berbisa, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko kepada keselamatan diri dan orang sekeliling.

Oleh Adi Safarman