Lelaki dihukum penjara dua tahun seludup enam migran Indonesia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 DIHUKUM…Chong Soon Foh (dua kanan) diiringi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak selepas dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuching kerana menyeludup enam migran warga Indonesia. Foto JIM Sarawak

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuching selepas didapati bersalah menyeludup enam migran warga Indonesia di Lundu, tahun lalu.

Hakim Wong Siong Tung menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Soon Foh selepas tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Kesalahan tersebut dilakukan pada 21 April 2025 kira-kira 3.21 petang di tepi Lebuh Raya Pan Borneo, Kampung Stom Muda, Lundu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Wish untuk membawa enam migran warga Indonesia yang diseludup.

Seksyen 26J Akta 670 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selepas meneliti keseluruhan fakta serta keterangan kes, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap tertuduh.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.

JIM turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah rentas sempadan sekali gus memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Oleh Norman B