SARATOK: Mesyuarat Agung Tahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian menjadi platform memperkukuh perpaduan dan kesepakatan ahli dalam usaha memperkasakan organisasi parti di peringkat akar umbi serta memperteguh sokongan terhadap agenda pembangunan Sarawak.
Dalam mesyuarat yang dihadiri sekitar 40 ahli akar umbi tersebut, telah berikrar dan bersedia untuk memberi sokongan penuh sekiranya calon dari parti itu diberi peluang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.
Menurut Setiausaha PBB Ranting Ulu Krian, Padang Luna berkata, ia adalah amat logik berasaskan kekuatan organisasi PBB di Krian yang memiliki keahlian kukuh serta jentera parti yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat.

Menurut beliau, jentera PBB di kawasan itu sentiasa turun padang mendekati rakyat dan memainkan peranan aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan, sekali gus membuktikan komitmen parti terhadap pembangunan serta kebajikan penduduk.
“Justeru, kami berpendapat sudah tiba masanya calon daripada PBB diberi peluang untuk mewakili kawasan DUN Krian atau Parlimen Saratok pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita PBB Krian, Patricia Augustine turut menyuarakan pendirian sama dengan menyifatkan PBB Ulu Krian mempunyai calon yang berwibawa serta memiliki ciri kepimpinan yang dekat dengan rakyat.
Beliau berkata, calon yang dipilih perlu mempunyai integriti, bersikap inklusif serta mampu meneruskan agenda pembangunan demi kepentingan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, kepimpinan yang berjiwa rakyat dan mudah didekati amat penting bagi memastikan aspirasi penduduk terus diberi perhatian dan pembangunan di kawasan berkenaan dapat diteruskan secara berkesan.
Sepanjang mesyuarat itu, ahli turut mendengar pembentangan laporan daripada Setiausaha Cawangan, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Belia PBB yang memperincikan pelaksanaan pelbagai program serta aktiviti sepanjang tahun lalu.
Laporan tersebut memperlihatkan komitmen setiap sayap parti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, di samping memperkukuh penyelarasan organisasi bagi memastikan parti terus relevan dalam memenuhi aspirasi masyarakat.
Dalam perkembangan sama, dimaklumkan keahlian PBB Cawangan Krian kini hampir mencecah 5,000 orang, sekali gus menggambarkan peningkatan sokongan masyarakat terhadap perjuangan parti.
Mesyuarat berkenaan turut merakamkan sokongan padu kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta komitmen untuk terus mendukung dasar dan agenda pembangunan kerajaan Sarawak di bawah GPS.
Selain membincangkan hala tuju parti, mesyuarat itu turut memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli bagi memastikan PBB Cawangan Krian terus kukuh serta berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Berlandaskan semangat ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’, PBB Cawangan Krian menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan organisasi, mempererat hubungan dengan masyarakat serta menyokong usaha pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan Sarawak.
Oleh Adi Safarman



