
DARO: Penantian penduduk di Sungai Passin untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya menjadi kenyataan apabila dua rumah panjang pertama di kawasan itu berjaya disambungkan kepada bekalan elektrik menerusi projek Sistem Grid Luar Bandar (Rural Integrated System, RIS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, perkembangan bersejarah itu membawa sinar baharu kepada penduduk di kawasan pedalaman yang sebelum ini bergantung kepada set janakuasa untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Menurut beliau, projek RIS yang dimulakan sebelum pandemik COVID-19 itu akhirnya berjaya disiapkan selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang pelaksanaannya.
“Hari ini merupakan detik yang amat bersejarah, khususnya bagi masyarakat di kawasan Sungai Passin yang mempunyai tujuh rumah panjang, sebuah klinik kesihatan dan sebuah sekolah rendah.
“Rumah Akin dan Rumah Imbar merupakan dua rumah panjang pertama yang berjaya menerima bekalan elektrik selepas proses energisation dilaksanakan. Rumah panjang lain pula akan disambungkan dalam masa terdekat sebaik sahaja pemasangan meter selesai,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Dr Safiee berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi melaksanakan projek RIS sebagai usaha menyediakan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.
Beliau berkata, projek berkenaan sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID-19, selain kegagalan kontraktor asal menyiapkan pembinaan jalan yang menjadi laluan utama ke kawasan tersebut.
“Projek ini amat mencabar kerana pembinaan jalan perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum kerja pemasangan infrastruktur elektrik dapat dilaksanakan.
“Alhamdulillah, menerusi pelantikan kontraktor penyelamat serta kerjasama erat antara Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding, kontraktor jalan dan Sarawak Energy, kedua-dua projek berjaya diselaraskan dan akhirnya disiapkan,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu disambut penuh kegembiraan oleh penduduk, malah ada yang tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka impian menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya menjadi kenyataan.
“Sungai Passin merupakan antara kawasan paling jauh di Daerah Matu dan terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro. Hari ini kita menyaksikan sendiri rumah-rumah panjang di kawasan ini akhirnya diterangi bekalan elektrik.
“Ada penduduk memaklumkan mereka seolah-olah bermimpi apabila rumah panjang mereka kini menikmati bekalan elektrik seperti kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah mengurangkan kos sara hidup kerana mereka tidak lagi bergantung kepada set janakuasa yang menggunakan petrol atau diesel serta hanya dapat menikmati bekalan elektrik pada waktu malam.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Sarawak Energy serta semua agensi dan pihak yang terlibat kerana berjaya merealisasikan impian masyarakat Sungai Passin untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam,” katanya.
Oleh Akun Giman





