Festival Kuching 2026 rai ulang tahun ke-40, perkasa konsep bandar raya inklusif

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Wee Hong Seng (tengah) selepas program pelancaran Festival Kuching 2026 di MBKS hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Festival Kuching 2026 bakal berlangsung dengan lebih meriah dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini sempena ulang tahun ke-40 penganjurannya, menerusi pelbagai program berteraskan komuniti, budaya, gastronomi, sukan dan inovasi bagi menyokong usaha membina bandar raya yang penyayang, berdaya tahan serta mampan.

Bertemakan “Membina Bandar Raya Penyayang dan Berdaya Tahan ke Arah Masa Depan Mampan”, Festival Kuching 2026 mencerminkan aspirasi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk mewujudkan sebuah bandar raya yang inklusif, prihatin dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, tema tersebut menekankan kepentingan membina komuniti yang saling menyokong, berdaya tahan serta mampu bergerak seiring dengan perubahan semasa.

“Tema ini diterjemahkan menerusi setiap program yang dirancang tahun ini, daripada kanak-kanak, belia, golongan dewasa hinggalah warga emas kerana semua lapisan masyarakat mempunyai sesuatu untuk dinikmati. 

“Sambutan tahun ini amat bermakna kerana Festival Kuching 2026 meraikan empat dekad penganjurannya sejak diperkenalkan pada 1986,” katanya pada program pelancaran Festival Kuching 2026 di MBKS hari ini.

POSTER rasmi program Festival Kuching 2026. Foto MBKS

Tambahnya, festival tersebut berkembang daripada sebuah sambutan komuniti berskala kecil kepada antara festival bandar raya paling dinantikan di Malaysia yang berjaya menghimpunkan masyarakat tempatan serta pelawat dari dalam dan luar negara.

“Sepanjang 40 tahun, Festival Kuching menjadi platform meraikan warisan pelbagai budaya, gastronomi, kreativiti dan semangat komuniti.

“Hari ini, Festival Kuching bukan lagi sekadar pesta makanan, tetapi mencerminkan identiti serta aspirasi Kuching sebagai sebuah bandar raya yang menggabungkan inovasi dengan pemeliharaan tradisi,” ujarnya.

Antara pengisian awal festival ialah Cabaran Kanak-kanak Pintar, Bandar Raya Pintar: Perarakan Robotik pada 18 Julai di Boulevard MBKS, Jalan Padungan yang bertujuan memperkenalkan kanak-kanak kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti kreatif serta interaktif.

Sambutan diteruskan menerusi Jalan Santai 722 sempena Hari Sarawak pada 22 Julai sebelum festival dibuka kepada orang ramai pada hari yang sama di Dewan Masyarakat MBKS.

Menurut Wee, antara tarikan utama Festival Kuching 2026 ialah pengisian gastronomi yang memperkukuh kedudukan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO menerusi penganjuran Pavilion Gastronomi Bandar Kreatif UNESCO yang menghimpunkan bandar kreatif gastronomi dari seluruh dunia.

Selain itu, Piala Dunia Kulinari Borneo 2026 turut menjadi antara acara penting yang menghimpunkan cef serta penggiat industri makanan bagi meraikan kecemerlangan, inovasi dan keunikan cita rasa Borneo.

Dalam aspek gaya hidup sihat, festival kali ini turut menampilkan pelbagai acara sukan termasuk Fiesta Zumba Kuching 2026 yang menjadi antara kemuncak sambutan apabila MBKS menyasarkan satu lagi pencapaian dalam Buku Rekod Malaysia menerusi kategori penyertaan warga emas terbesar dalam acara Zumba.

Wee berkata, aspek seni dan budaya turut menjadi elemen penting Festival Kuching 2026 menerusi persembahan artis tempatan, kumpulan kebudayaan, sekolah muzik, pertubuhan komuniti serta pelbagai persembahan tradisional.

Menurut beliau, semua program yang disusun bertujuan memperkukuh hubungan komuniti serta menggambarkan usaha bersama dalam membina sebuah bandar raya yang penyayang, berdaya tahan dan mampan.

Orang ramai dialu-alukan hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk memeriahkan Festival Kuching 2026 menikmati pelbagai sajian, menyertai aktiviti yang disediakan serta meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan bandar raya Kuching.

Sambutan Festival Kuching 2026 turut berlangsung serentak dengan sambutan ulang tahun ke-38 Hari Bandar Raya Kuching.

Festival berkenaan akan turut dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada 24 Julai ini.

Oleh Adele Rissa

NADMA giat nilai keperluan PPS di Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang giat menilai keperluan kemudahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak

Menganyam warisan, mempertahan identiti

SRI AMAN: Di sebalik setiap bilah buluh yang dianyam menjadi Ketapu Lanjang, tersimpan tekad seorang pengusaha untuk memastikan warisan masyarakat