Julau perlukan kawasan perindustrian untuk pacu pelaburan dan peluang pekerjaan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATUK Larry Sng Wei Shien menandatangani plak perasmian Rumah Biro Wanita di Rumah Baki. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Julau memerlukan kawasan perindustrian dan kilang sendiri bagi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta membolehkan usahawan tempatan memanfaatkan pelbagai insentif kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pembangunan sektor perindustrian perlu dijadikan antara agenda utama memandangkan Julau masih belum mempunyai kawasan industri yang mampu menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan.

“Julau memerlukan kawasan perindustrian dan kilang sendiri bagi membolehkan usahawan tempatan menikmati pelbagai insentif kerajaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat.

DATUK Larry Sng Wei Shien bergambar bersama ahli Biro Wanita Rumah Baki. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

“Terdapat pemilik tanah di tepi jalan yang berminat memohon tapak untuk membina kilang dan cadangan itu wajar diperhalusi memandangkan Julau ketika ini masih belum mempunyai kemudahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Rumah Biro Wanita dan Ngiling Tikai di Rumah Baki, Keluton, Entabai, baru-baru ini.

Menurut beliau, pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan kepada usahawan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya operasi perniagaan tidak dijalankan dari premis yang berstatus kilang.

“Usahawan di Semenanjung Malaysia menikmati pelbagai insentif daripada SME Corp. Malaysia dan agensi berkaitan kerana mempunyai kawasan perindustrian yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Justeru, Julau perlu berfikiran jauh dengan menjadikan sektor perindustrian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

DATUK Larry Sng Wei Shien menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Rumah Biro Wanita dan Ngiling Tikai di Rumah Baki, Keluton, Entabai, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

“Pembangunan sektor perindustrian juga dapat membantu mengekalkan penduduk, khususnya golongan belia, daripada berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan kilang turut membolehkan produk berasaskan sumber asli di kawasan itu diproses dan dipasarkan dengan lebih meluas, termasuk ke Semenanjung Malaysia.

“Sebagai contoh, produk makanan yang ingin dipasarkan ke Semenanjung perlu memperoleh pensijilan halal. Antara syarat untuk mendapatkan pensijilan tersebut ialah kilang beroperasi di kawasan perindustrian yang diluluskan,” katanya.

Pada majlis itu, Larry turut menyampaikan dana berjumlah RM58,910 kepada Rumah Sylvester Andy, Rumah Baki, Rumah Ama, Biro Wanita Rumah Baki, Biro Wanita Rumah Andi, Biro Wanita Rumah Ama serta Gereja Methodist Nanga Selilin bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pembangunan komuniti.

Oleh Earl Anek