KUCHING: Impak rampasan dadah hasil 577 operasi penguatkuasaan di Sarawak mampu menyekat sebanyak 370,845 kali penggunaan dadah dan substance terlarang dan menyelamatkan 90,839 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak sepanjang Mac 2021.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya berada dilandasan yang positif untuk menangani isu dalam rantaian bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan substance di Sarawak hasil kolaborasi secara bersepadu di kalangan agensi penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan dalam One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Negeri.
“Peringkat seterusnya dalam rantaian MIDS kita adalah tindakan untuk menyekat pemintaan terhadap dadah dan substance. Bagi bulan Mac 2021, sebanyak 526 tangkapan melibatkan kes positif urin telah dilakukan,” katanya pada sidang media Laporan Bulanan OSC MIDS di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.
Tambahnya, untuk memastikan mereka yang terjebak daripada terus menyalahgunakan dadah dan substance, rantaian MIDS terus memberi fokus kepada tindakan intervensi berbentuk rawatan dan pemulihan.
“Bagi tempoh Mac 2021, seramai 114 sedang menjalani pemulihan dalam institusi di PUSPEN; 2,038 lagi dalam komuniti (1,915 OKP, 27 di Cure and Care, sembilan di One Stop Centre for Addiction, dan 87 di pusat-pusat NGO),” jelasnya.
Cabaran utama golongan yang terjebak adalah perkhidmatan rawatan penagihan dan pemulihan baik secara dalam institusi atau secara sukarela dalam komuniti.
“Kadar pemulihan penyalahgunaan dadah di Sarawak kini adalah 1 kepada nisbah 8 (1:8). Ini bermaksud, bagi setiap individu yang mendapat rawatan dan pemulihan, ada lapan orang lagi yang tidak tampil untuk mendapat pemulihan,” katanya.
Bagi meningkatkan akses kepada rawatan penagihan dan pemulihan penyalahgunaan dadah dan substance di Sarawak, satu daripada pelan tindakan OSC MIDS pada tahun 2021 adalah untuk menubuhkan OSCA di klinik-klinik kesihatan yang terpilih dan sesuai di daerah-daerah yang berisiko tinggi di Sarawak.
“Rantaian dalam MIDS kita juga memberi penekanan kepada tindakan pencegahan melalui program-program kesedaran, advokasi dan saringan yang berbentuk evidenced-base di institusi pendidikan, tempat kerja, dalam komuniti dan keluarga.
“Pada tahun 2021, sebanyak 160 siri program dirancangkan. Setakat Mac 2021, sebanyak 11 siri program telah dilaksanakan,” tambahnya.
Katanya lagi, daripada jumlah rampasan dadah sebanyak 73.67 kg sejak Januari 2021, Daerah Kuching (30,900.3 gram atau 30.9 kg) mencatatkan rampasan dadah yang tertinggi di Sarawak, diikuti Daerah Miri (27,769.48 gram atau 27.7 kg); Daerah Lundu (11,450 gram atau 11.45 kg); Daerah Samarahan (3,618.7 gram atau 3.62 kg); dan Daerah Tebedu (8 gram atau 0.008 kg).
“Saya menyeru supaya semua pihak berganding bahu serta bekerjasama dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance di Sarawak.
“Nasihat saya adalah supaya komuniti di Sarawak menghindari diri daripada penyalahgunaan dadah dan substance kerana jika anda sudah terjebak, amat sukar untuk dipulihkan,” tegasnya.
Maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance boleh dilaporkan melalui Whatsapp kepada Hotline JSJN ditalian 0122087222; Hotline AADK (0196262233); dan Hotline KastamĀ (1-80088-8855).
Oleh NUR AIN OTSMAN