Kanak-kanak dirujuk ke Hospital Sarikei selepas mata pancing tertusuk jari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Seorang kanak-kanak berumur dua tahun terpaksa dirujuk ke Hospital Sarikei selepas mata pancing yang tertusuk pada hujung jarinya dipercayai berisiko mengenai tulang pada semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.52 pagi.

“Respons dengan panggilan kecemasan, lima anggota bomba digerakkan ke Klinik Kesihatan Bintangor bagi membantu pihak klinik.

“Setibanya pasukan bomba tiba di Klinik Kesihatan Bintangor pada 11.56 pagi, didapati seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah tertusuk mata pancing di hujung jari.

“Pasukan bomba membantu pihak klinik untuk mengeluarkan mata pancing yang tertusuk pada jari mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, bagaimanapun usaha mengeluarkan mata pancing tersebut tidak dapat diteruskan kerana keadaan kecederaan berisiko tinggi kepada mangsa.

“Pegawai perubatan di lokasi memaklumkan mata pancing tersebut berkemungkinan telah tertusuk sehingga ke tulang jari, sekali gus memerlukan rawatan lanjut di hospital.

“Mangsa seterusnya telah dirujuk ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Oleh Earl Anek