
SARIKEI: Keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran aliran trafik di Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), khususnya di Jalan Meruton/Merudu dan pekan Jakar, terus menjadi keutamaan apabila Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii mengadakan lawatan kerja ke lokasi tersebut.
Katanya, lawatan bertujuan meninjau keadaan sebenar aliran trafik dan mengadakan perbincangan teknikal bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang sesuai untuk mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat pandangan rakyat dan mendengar permintaan pengguna yang mengharapkan jalan raya lebih selamat serta aliran trafik yang lebih lancar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja bersama wakil Bahagian Perancangan Jalan, Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jurutera JKR Bahagian Sarikei, baru-baru ini.

Katanya, lawatan turut menjadi platform untuk menyelaras kerjasama antara semua agensi terlibat dalam usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap isu trafik yang dihadapi pengguna di kawasan tersebut.
“Kerjasama erat antara KKR, JKR Sarawak dan JKR Bahagian Sarikei amat penting bagi memastikan setiap cadangan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memenuhi keperluan semasa.
“Saya berharap langkah yang dirancang mampu meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mewujudkan perjalanan yang lebih lancar serta selesa kepada penduduk setempat dan pengguna LPB,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan projek dan bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap usaha penambahbaikan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat di kawasan Sarikei.
Oleh Earl Anek