
BINTULU: Sebanyak 13 kelab permotoran dari pelbagai daerah di Sarawak menyertai Konvoi Perpaduan Sebauh 2026 (Sebauh Unity Ride 2026) sempena Pesta Sebauh 2026, sekali gus memeriahkan Sebauh Bike Show yang berlangsung di Tebingan Sebauh hari ini.
Konvoi yang melibatkan kira-kira 200 motosikal terdiri daripada motosikal berkuasa tinggi dan motosikal berkapasiti enjin kecil itu dilepaskan pada 10.00 pagi dari pekarangan Dewan Suarah Bintulu sebelum meneruskan perjalanan ke Sebauh melalui Jalan Ulu Sebauh.
Rombongan tiba di Sebauh kira-kira 11.30 pagi dan memulakan pengisian program dengan mengadakan aktiviti khidmat masyarakat menerusi penyampaian sumbangan wang tunai kepada sebuah masjid dan sebuah gereja di daerah itu sebelum meneruskan perjalanan ke tapak Pameran Motosikal Sebauh di Tebingan Sebauh.

Program tersebut menampilkan pelbagai kategori motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi, klasik, kustom dan modifikasi.
Turut diadakan pertandingan modifikasi motosikal yang melibatkan beberapa kategori dengan pemenang menerima trofi sebagai penghargaan.
Timbalan Presiden Kelab Permotoran Brotherhood (BMC), Azman Drahman berkata, penyertaan 13 kelab permotoran dalam Konvoi Perpaduan Sebauh 2026 bukan sahaja bertujuan memeriahkan Pesta Sebauh 2026, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara komuniti permotoran dari pelbagai daerah di Sarawak.

Beliau berkata, program khidmat masyarakat yang diadakan merupakan antara pengisian yang diterapkan bagi menyumbang kepada masyarakat setempat, di samping menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti permotoran.
Turut menyertai program berkenaan ialah Kelab Cat City Motorsport, yang mengambil peluang memperkenalkan Cat City International Bike Week (CCIBW) 2026 kepada komuniti permotoran yang hadir.
Acara itu dijadualkan berlangsung dari 28 Oktober hingga 1 November 2026 di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Sementara itu, Presiden Kelab Cat City Motorsport, Abang Nor Nasaruddin berkata, penyertaan kelab itu dalam Konvoi Perpaduan Sebauh 2026 merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan CCIBW 2026 kepada komuniti permotoran di luar Kuching.
Menurutnya, walaupun CCIBW bakal memasuki penganjuran kali ketiga, ini merupakan kali pertama pihaknya menyertai program di luar Kuching bagi mempromosikan acara tersebut kepada komuniti permotoran di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, Bintulu merupakan destinasi pertama siri jelajah konvoi atau Rolling Thunder CCIBW 2026, sebelum diteruskan ke beberapa daerah lain di Sarawak bagi memperluaskan promosi acara berkenaan.
“Ini merupakan penganjuran kali ketiga CCIBW, namun buat pertama kalinya kami keluar dari Kuching untuk menyertai program seperti ini. Bintulu menjadi destinasi pertama Rolling Thunder kami bagi memperkenalkan CCIBW 2026 kepada komuniti permotoran.
“Selepas ini, kami akan meneruskan Rolling Thunder ke beberapa daerah lain di Sarawak bagi memperluaskan lagi promosi CCIBW 2026 dan mengajak lebih ramai kelab serta peminat motosikal hadir memeriahkan acara yang akan berlangsung pada 28 Oktober hingga 1 November 2026 di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya,” katanya.
Beliau berkata, program seperti Konvoi Perpaduan Sebauh 2026 memberi peluang kepada pihaknya bertemu komuniti permotoran dari pelbagai kawasan serta berkongsi maklumat mengenai CCIBW 2026.
Katanya, CCIBW 2026 akan berlangsung selama lima hari dengan pelbagai pengisian termasuk pameran motosikal, pertandingan, pameran industri permotoran serta aktiviti berkaitan gaya hidup permotoran yang dijangka menarik penyertaan komuniti permotoran dari dalam dan luar Sarawak.
Oleh Faizah Muzidi