
KUCHING: Dakwaan bahawa pembatalan projek Jambatan Batang Lupar, Jambatan Kuala Igan dan Jambatan Rambungan pada 2018 dibuat bagi memberi laluan kepada projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR) adalah tidak benar dan mengelirukan, kata Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.
Beliau berkata, dakwaan tersebut timbul susulan kenyataan pihak tertentu yang mengaitkan pembatalan tiga projek jambatan berkenaan dengan pelaksanaan SSLR.
Menurutnya, rekod rasmi kerajaan dan Hansard Parlimen menunjukkan tiga projek jambatan itu dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2018 selepas semakan semula projek pembangunan dibuat berikutan kekangan kewangan.
Katanya, pada ketika itu projek SSLR masih belum menerima kelulusan peruntukan baharu daripada Kerajaan Persekutuan.
“Fakta penting ialah tiga jambatan ini dibatalkan pada tahun 2018, manakala SSLR hanya diumumkan sebagai projek keutamaan baharu pada 2019 dan menerima kelulusan serta peruntukan baharu pada 2020.
“Oleh itu, dakwaan bahawa tiga jambatan tersebut dibatalkan bagi memberi laluan kepada SSLR tidak selari dengan kronologi sebenar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Willie berkata, Hansard Dewan Rakyat bertarikh 14 Oktober 2019 merekodkan penjelasan Menteri Kerja Raya ketika itu bahawa projek Jambatan Batang Lupar, Kuala Igan dan Rambungan telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum kerajaan Sarawak mengambil keputusan meneruskan pembinaan menggunakan dana negeri.
Beliau berkata, Hansard tersebut tidak menyatakan peruntukan tiga projek jambatan berkenaan dipindahkan secara khusus kepada SSLR.
“SSLR merupakan projek baharu yang menerima peruntukan baharu Kerajaan Persekutuan selepas melalui proses penilaian dan kelulusan tersendiri, bukannya hasil pemindahan dana daripada tiga projek jambatan yang dibatalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Willie berkata keperluan pembinaan jambatan di kawasan pesisir Sarawak telah lama dikenal pasti sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan jaringan jalan raya negeri.
Katanya, keputusan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meneruskan pembinaan tiga jambatan berkenaan menggunakan dana negeri membuktikan komitmen memastikan projek strategik yang memberi manfaat kepada rakyat diteruskan.
Beliau menegaskan pembangunan Sarawak perlu dinilai berdasarkan fakta, rekod rasmi kerajaan dan kronologi sebenar, bukannya persepsi atau dakwaan yang boleh mengelirukan rakyat.
Oleh Afiq Sallehi