
KUCHING: Industri di Sarawak digesa memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan kecerdasan buatan (AI) negeri menerusi kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan institusi akademik bagi memastikan Sarawak terus kekal berdaya saing dalam era ekonomi digital.
Seruan itu dibuat menerusi sesi libat urus anjuran Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) hari ini bagi memperkukuh penyertaan komuniti perniagaan dalam agenda pembangunan AI negeri.
Sesi itu turut memperkenalkan Jelajah Pelancaran Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 27 Julai ini, dengan menghimpunkan wakil kerajaan, industri, akademia serta ekosistem teknologi untuk meneroka peluang, cabaran dan pendekatan praktikal ke arah memperluaskan penggunaan AI di Sarawak.
Inisiatif berkenaan selaras dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk meletakkan Sarawak sebagai peneraju transformasi digital dan teknologi baharu.
Melalui penubuhan SAIC dan pembangunan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak, kerajaan negeri terus memperkukuh penggunaan AI bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, mempercepat transformasi sektor awam serta meningkatkan daya saing jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif SAIC, Profesor Dr Patrick Then berkata, penglibatan industri amat penting bagi memastikan hala tuju pembangunan AI Sarawak memenuhi keperluan sebenar sektor perniagaan.
“AI sedang mengubah landskap industri dan ekonomi di seluruh dunia. Untuk merealisasikan potensinya sepenuhnya, kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia amat penting.
“Jelajah Pelancaran Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak merupakan platform penting untuk mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan yang akan membantu membentuk hala tuju AI Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pandangan daripada komuniti perniagaan dapat membantu mengenal pasti keperluan industri, cabaran dalam penggunaan AI serta memastikan inisiatif yang dirancang kekal praktikal, relevan dan memberi impak.
Sementara itu, Presiden SBF, Dato Jonathan Chai berkata, AI kini bukan lagi sekadar teknologi masa depan, sebaliknya telah mengubah cara perniagaan beroperasi pada hari ini.
“Perniagaan yang mengadaptasi AI akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk meningkatkan produktiviti, mengekalkan daya saing serta merebut peluang baharu dalam ekonomi digital yang terus berkembang.

“SBF menggalakkan ahli-ahli kami menyertai Jelajah Pelancaran Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak serta menyumbang pandangan bagi membantu membentuk hala tuju AI Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata, SBF turut membantu memperluaskan hebahan mengenai program itu menerusi persatuan ahli dan rangkaian perniagaan bagi meningkatkan kesedaran serta penyertaan industri di seluruh negeri.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah SCSDU, Adrian Chung berkata, kerjasama berterusan antara kerajaan dan industri penting bagi memastikan pendekatan penggunaan AI dapat dilaksanakan secara terselaras.
“Melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta, kita dapat membangunkan dasar serta inisiatif yang praktikal, relevan dan menyokong aspirasi transformasi digital Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata, sesi libat urus itu turut membuka ruang kepada pemimpin industri untuk berkongsi pandangan mengenai tahap kesiapsiagaan AI, pembangunan tenaga kerja, cabaran transformasi digital serta bentuk sokongan yang diperlukan bagi mempercepat penggunaan AI dalam kalangan komuniti perniagaan di Sarawak.
Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Sarawak turut menyokong sasaran di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030) menerusi pendekatan yang terselaras ke arah meningkatkan produktiviti, menggalakkan inovasi, memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.