KEMENANGAN yang diraih selepas mengejutkan Sarawak United FC 2-0 hujung minggu lalu, dijadikan titik tolak kebangkitan dan suntikan semangat kepada skuad PDRM FC selepas ini.
Ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail memberitahu, ia sekali gus kepada permulaan dan perubahan buat skuad The Cops itu mendaki carta Liga Premier musim ini.
“Kemenangan ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan serta suntikan semangat serta permulaan kepada cabaran pasukan ini untuk kembali bersaing merebut kedudukan terbaik carta liga selepas ini.
“Lebih manis tiga mata diraih ke atas pasukan lawan yang kini berada di persada liga dan di puncak prestasi mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, kelmarin.
Wan Rohaimi turut mengakui masih memerlukan masa bagi mengembalikan prestasi terbaik selepas mengambil tugas selaku pengendali sejak awal April lalu.
Justeru, beliau sudah mengenal pasti kelemahan ketara selepas dua perlawanan dengan JDT II dan Perak FC II sebelum aksi menentang Sarawak United, yang mana barisan pemain gagal mencari penyudah berkesan selain kawalan bola yang kurang baik memudahkan lawan merembat peluang yang ada menguasai perlawanan.
“Selepas mengharungi tiga perlawanan, saya sudah nampak banyak perubahan positif dan kelemahan khususnya di bahagian serangan apabila pemain masih kurang kreativiti untuk mencipta peluang.
“Namun, kita sudah melakukan penambahbaikan untuk cuba mengatasi masalah seumpama itu dalam aksi akan datang dan percaya barisan pemain dapat pamer aksi yang lebih matang selepas ini.
“Cuma saya datang ke sini, dengan misi bukan untuk mengubah semuanya dalam sekelip mata dan berharap dapat memberi ruang untuk berkarya bagi mengubah prestasi pasukan ini dengan lebih baik,” ujarnya.
Baginya, dia amat berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang bermati-matian memperoleh tiga mata berharga ketika menentang Sarawak United Jumaat lalu, walaupun berdepan reputasi hebat skuad tuan rumah.
“Mungkin Sarawak United turun tanpa kekuatan sebenar kerana hilang beberapa tonggak namun pemain kami mengambil peluang dengan begitu positif untuk mengejutkan mereka,” tegasnya.
Bekas pemain kebangsaan itu menyatakan akan mengekalkan formasi 4-3-3 untuk pasukan berkenaan, cuma `game plan’ bakal berbeza ketika berdepan setiap lawan sama ada di laman sendiri atau sebagai pelawat.
Apa pun, Wan Rohaimi jelas merendah diri dengan perubahan pasukan terbabit sejak mula mengambil alih skuad berkenaan awal April lalu.
Beliau berkata, dia masih dalam proses pembelajaran namun pengalaman yang dikutip sebagai pemain, jurulatih Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP) dan skuad Piala Presiden Pulau Pinang akan digunakan sebaik mungkin untuk merubah penampilan skuad terbabit.
“Tempoh 12 hari sebelum berdepan Negeri Sembilan selepas ini akan digunakan untuk pemulihan kecederaan, keserasian dan persefahaman pasukan,” ujarnya.
Terdahulu, jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris hanya sempat mengendali lima perlawanan PDRM yang beraksi di Liga Premier sebelum dipecat oleh pasukan itu pada Mac lalu dan tempatnya diganti oleh bekas pemain kebangsaan, Wan Rozaimi Wan Ismail yang dilantik serta merta.
Memiliki pengalaman sebagai jurulatih pembangunan selama 10 tahun di NFDP dan Pulau Pinang, Wan Rohaimi diharap dapat membentuk skuad Sang Saka Biru untuk mencabar kejuaraan di Liga Perdana pada musim ini.
Oleh ADI SAFARMAN