Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kelab Pencinta Alam Sekitar NREB raih pengiktirafan antarabangsa
  • SEMASA

Kelab Pencinta Alam Sekitar NREB raih pengiktirafan antarabangsa

Utusan Sarawak 12 hours ago
(DARI KIRI ) Penolong Pengawal ChM. Marinni Datuk Khir, Timbalan Pengawal NREB, Penny Sumok, Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Ng Kai Ning, dan Editor Penyumbang GovMedia, Simon Hyett. 

SINGAPURA: Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS Club) kendalian Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila meraih Anugerah Pendidikan Penglibatan Pihak Berkepentingan Malaysia Tahun Ini pada Persidangan dan Anugerah GovMedia 2026.

Pengiktirafan itu diterima pada majlis anugerah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands, Singapura, sekali gus mengiktiraf usaha NREB dalam memperkukuh pendidikan alam sekitar serta membentuk generasi muda yang bertanggungjawab terhadap kelestarian alam.

Mengulas kejayaan itu, Pengawal NREB, Datu Jack Liam berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan komitmen bersama sekolah, guru, pelajar dan rakan strategik yang menyokong perjalanan Kelab PALS.

“Anugerah ini mencerminkan kepentingan kerjasama dalam mewujudkan impak alam sekitar yang bermakna serta memperkukuh kesedaran kelestarian dalam kalangan generasi muda Sarawak.

“Melalui Kelab PALS, kami kekal komited untuk melahirkan pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada aspirasi kelestarian Sarawak di bawah PCDS 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kelab PALS diwujudkan bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap alam sekitar menerusi pendidikan berstruktur dan pembelajaran secara praktikal.

Program berkenaan menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya di bawah tonggak Kelestarian Alam Sekitar, dalam usaha membina Sarawak yang lebih hijau dan berdaya tahan.

Menyedari bahawa kebanyakan aktiviti berkaitan alam sekitar di sekolah sebelum ini dilaksanakan secara tidak berstruktur dan sering bergantung kepada inisiatif guru atau kumpulan pelajar tertentu, NREB membangunkan Kelab PALS sebagai pendekatan jangka panjang serta berinstitusi dalam pendidikan alam sekitar.

Dengan menerapkan pendidikan alam sekitar dalam rangka kerja kokurikulum sekolah, Kelab PALS memastikan kesinambungan, konsistensi dan penglibatan pelajar secara berterusan merentasi generasi.

Kekuatan utama Kelab PALS terletak pada pendekatan kerjasama pelbagai pihak yang menghimpunkan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi kerajaan, organisasi korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh pendidikan dan tindakan berkaitan alam sekitar.

NREB menerajui program berkenaan melalui penyediaan kepimpinan program, latihan serta panduan teknikal, manakala rakan strategik menyumbang kepakaran, penglibatan komuniti dan sokongan kewangan.

Pelajar yang menyertai program itu terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk kem alam sekitar, program kesedaran, pertandingan serta inisiatif berasaskan komuniti yang merangkumi pengurusan sisa, pemuliharaan biodiversiti, tindakan perubahan iklim dan pencegahan pencemaran.

Kini, Kelab PALS melibatkan 807 sekolah di seluruh Sarawak dan penyertaan dijangka diperluaskan kepada kesemua 1,460 sekolah menjelang 2027.

Continue Reading

Previous: Konvoi Premier Sarawak tiba di Sibu, SKS 2026 bermula esok
Next: KKDW, JBALB laksana langkah segera tangani gangguan bekalan air di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.