SHAH ALAM: Pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, Top Glove Corporation Bhd menyasar untuk mencapai penguasaan pasaran global sebanyak 30 peratus tahun ini walaupun terjebak dalam isu dakwaan buruh paksa dengan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP), menurut Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow.
Pada masa ini, bahagian pasaran Top Glove berada pada 26 peratus.
“Kami sedang berusaha ke arah matlamat ini dan kami yakin sasaran itu akan tercapai dengan lebih cepat.
“Kami mempunyai kekangan pada masa lalu tetapi kami mahu bergerak lebih kukuh ke hadapan, untuk menjadi model serta contoh terbaik kepada industri,” katanya kepada media semasa satu sesi pertanyaan selepas tinjauan ke atas penginapan pekerja Top Glove di sini, baru-baru ini.
Tahun lepas, syarikat itu terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19, masalah kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah tetapi sebagai sebuah syarikat yang sudah matang selama 30 tahun, ia berjaya mengatasinya dengan baik.
“Kami juga telah menjelaskan keadaan syarikat kepada beberapa kementerian dan mereka memahami bahawa kadang-kadang berlaku perkara di luar kawalan disebabkan cabaran yang wujud.
“Tetapi kami akan melakukannya dengan baik dan kami akan terus menyumbang kepada ekonomi Malaysia serta sektor eksport,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu juga telah mengekalkan sasarannya untuk disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong tahun ini.
Lee juga yakin syarikat itu akan mencapai sasarannya untuk berada dalam senarai Fortune Global 500 pada 2030.
“Kami yakin akan sampai ke sana. Selepas berada dalam perniagaan selama lebih 30 tahun, kami telah memahami kitaran dan kami masih yakin bahawa ini adalah industri yang baik serta akan terus mendapat permintaan memandangkan ketiadaan pengganti atau produk alternatif yang sebaik sarung tangan getah,” katanya.
Top Glove kini dalam peringkat ketiga proses pengubahsuaian Perintah Pelepasan US CBP (WRO) untuk melucutkan baki lima indikator buruh paksa daripada Impactt, sebuah firma perunding perdagangan beretika yang berpangkalan di United Kingdom.
Daripada 11 petunjuk amalan terbaik Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Top Glove telah disahkan oleh Impactt untuk mencapai enam As dan lima Bs, manakala lima Bs perlu ditukar kepada As yang bersesuaian dengan US CBP bagi melepaskan WRO ke atas syarikat itu.
Ia juga dilaporkan sebelum ini bahawa penyenaraian berkembar utama Top Glove di Hong Kong akan berlaku menjelang Mei atau Jun tahun ini dan dijangka mengumpulkan hasil sehingga RM7.7 bilion.
Pada penutup dagangan Bursa Malaysia baru-baru ini, saham Top Glove naik 2.39 peratus kepada RM5.57 dengan 62.3 juta saham bertukar tangan.- Bernama