KUCHING: Keenakan kuih ‘Akok Sohor Resepi Ori Kelate’ di Lorong Haji Limbong Kampung Nombor 3 Jalan Datuk Ajibah Abol antara yang menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan orang ramai setiap kali Ramadan tiba.
Justeru, tidak hairanlah jika jualannya boleh mencecah lebih 1,000 biji sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang amat menggemari kuih tradisional dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Peniaga, Nur Hasyah Mohamad Hassan berkata, permulaan bagi penjualan kuih akok segalanya bermula pada tahun 2017 lagi setelah mencuba menjual kuih tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan suaminya yang berasal dari Kelantan.
“Adunan untuk membuat kuih akok ini adalah daripada resepi turun-temurun yang dipelajari daripada ibu mertua saya.
“Tetapi resepi ini diolah sedikit mengikut citarasa orang di Sarawak kerana orang kita tidak menggemari rasa yang terlalu manis.
“Keistimewaan kuih akok ini, ia mempunyai tekstur yang lembut apabila dikunyah, berlemak dan tidak terlalu manis dan sentiasa menjadi permintaan tinggi di bulan Ramadan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Menurutnya, adunan untuk menghasilkan kuih akok adalah gula melaka, telur dan santan.
“Untuk menghasilkan kuih akok yang lazat, sukatan kuih akok memainkan peranan penting bagi menghasilkan rasa kuih yang berlemak dan lembut.
“Kuih akok itu dijual pada harga RM5 untuk lima biji,” jelasnya.
Selain itu, Nur Hasyah berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan di masa hadapan beliau bercadang untuk menambah mesin baru untuk membuat kuih akok.
“Sekiranya ada rezeki, saya ingin menambah lagi satu mesin supaya di bulan Ramadan akan datang dapat menghasilkan lebih banyak kuih akok ini.
“Mesin ini mesti perlu ditempah dari Kelantan kerana mesin ini tidak ada dijual di Kuching dan perlu ditempah seawal enam bulan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ingin dikenali sebagai Azman berkata, dia dan keluarga akan membeli kuih akok Nur Hasyah untuk juadah berbuka puasa.
Oleh JEAKQLEYN YACHO