NUR AIN OTSMAN
RUGI jika ke Sarawak tapi tidak singgah ke Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong.
SCV adalah salah satu lokasi paling ideal buat penggemar budaya dan adat tidak kira untuk pengunjung dalam atau luar negara.
Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit dari bandaraya Kuching pasti berbaloi dengan pengalaman yang bakal dirasai sendiri di SCV.
Harga tiket bagi pengunjung bukan rakyat Sarawak adalah RM95 (dewasa) dan RM60 (kanak-kanak) yang mana ia termasuk makan tengah hari dan cenderamata berupa magnet peti sejuk replika Rumah Melanau manakala untuk rakyat Sarawak pula adalah RM30 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak).
‘Muzium Hidup’ ini memperkenalkan rumah budaya pelbagai bangsa seperti Rumah Bidayuh, Rumah Panjang, Rumah Iban, Rumah Orang Ulu, Rumah Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina.
Di sini, anda boleh merasa menaiki jambatan buluh dan masuk ke rumah panjang Bidayuh dan melihat pelbagai peralatan tradisi mereka.
Anda juga boleh berjalan masuk ke pelbagai replika rumah etnik di Sarawak termasuklah ke dalam sebuah rumah mesyuarat kaum Bidayuh yang dipanggil Baruk.
Tempat ini bukan sahaja digunakan untuk perjumpaan penting tetapi juga tempat meletak kepala musuh yang telah dipenggal dan menyimpan senjata penduduk yang tinggal di rumah panjang.
Selain dapat merasai sendiri keadaan di dalam rumah, pengunjung juga disajikan dengan persembahan tarian, alatan tradisional dan juga makanan tradisional etnik mereka yang dimasak secara langsung di situ.
Bagi pengunjung yang mahu membawa balik cenderamata pula, terdapat kraf tangan yang dihasilkan oleh etnik mereka sendiri dan dijual dengan harga yang berpatutan di setiap rumah budaya.
Setelah puas meneroka setiap rumah, pengunjung bakal di persembahkan pula dengan persembahan teater kebudayaan yang mengambil masa 45 minit untuk tontonan para pengujung.
Ia dipersembahkan mengikut dua sesi iaitu antara jam 11.30 pagi hingga 12.15 tengahari dan jam 4 petang hingga 4.45 petang.
Antara tarian yang dipersembahkan untuk tontonan penonton adalah tarian zapin, tarian iban, tarian melanau dan banyak lagi.
SCV menjadi bukti bahawa masyarakat Malaysia mampu hidup dalam kelompok masyarakat yang berbilang kaum dan budaya.
SCV memperkenalkan aplikasi ‘Kampung Budaya Sarawak 2020’ (SCV AR-VR) bermula Januari tahun ini bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman sebenar berada di kampung berkenaan.
Timbalan Pengurus Besar SEDC, Edwin Abit berkata, aplikasi ini mempunyai panduan masa dan VR 360 untuk membantu pengunjung apabila berada di situ.
“Aplikasi ini boleh didapati melalui App Store – Apple (MY) dan Google Play Store.
“AR Scan ini juga membolehkan pengunjung mengimbas kod QR di setiap rumah untuk membolehkan mereka merasai sendiri model 3D setiap enam buah rumah yang terdapat di kampung ini,” katanya.
Di samping itu, ujarnya, aplikasi ini turut membolehkan pengunjung mendapat maklumat dengan menekan audio yang terdapat di dalam aplikasi tersebut.
“Untuk mendapat harga promosi, pengunjung mesti mengumpul setem bagi setiap rumah dan kanak-kanak juga dapat mencari harta karun di seluruh kawasan kampung budaya dengan SCV AR-VR sekali gus berpeluang mendapat hadiah misteri daripada pengurusan SCV,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang, pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikan SCV sebagai memenuhi keselesaan pengunjung.
“Fasa 1 penambahbaikan SCV siap sepenuhnya pada Julai tahun lalu manakala Fasa 2 dijangka selesai sebelum Festival Muzik Hutan Hujan Dunia 2020,” jelasnya lagi.
Pada tahun ini, SCV akan mencapai usia 30 tahun.
Pengunjung yang singgah ke SCV dapat menikmati lawatan dan persembahan kebudayaan dengan penambahan baharu makan tengahari dan cenderamata sebagai sebahagian daripada tiket masuk.
SCV mula beroperasi pada jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.