
KUALA LUMPUR: Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) menggesa Kerajaan Persekutuan dan negeri memansuhkan cukai hiburan bagi merealisasikan potensi penuh ekonomi kreatif negara.
Penasihat Kanan ALIFE Rizal Kamal berkata persoalannya bukan lagi sama ada Akta Cukai Hiburan sudah lapuk sebaliknya mengapa negara masih terus menguatkuasakannya.
“Ketika ini, hiburan bukan lagi lambang kemewahan. Ia adalah budaya, aktiviti rekreasi keluarga, pelancongan dan penyumbang penting kepada ekonomi kreatif Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut ALIFE, terdapat tanggapan salah bahawa duti hiburan hanya dikenakan ke atas konsert antarabangsa berskala besar sedangkan ia sebenarnya dikenakan terhadap hampir semua persembahan langsung yang berbayar termasuk produksi teater, muzikal, kelab komedi dan festival seni.
Persatuan itu menegaskan bahawa beban cukai paling besar ditanggung oleh penggiat seni di peringkat akar umbi seperti pelawak baharu, pemuzik bebas dan syarikat teater tempatan yang bergantung kepada harga tiket berpatutan untuk membina kelompok penonton mereka.
Menurut ALIFE, Akta Cukai Hiburan 1953 yang diperkenalkan pada era penjajahan ketika hiburan dianggap sebagai satu bentuk kemewahan kini sudah tidak relevan lagi dengan ekonomi kreatif moden Malaysia.
Selain itu, kadar cukai yang tidak konsisten, proses kelulusan yang rumit serta perbezaan tafsiran pentadbiran merentas pelbagai negeri dan pihak berkuasa tempatan telah menjejaskan penganjuran jelajah doemstik ke bandar lain yang mempunyai potensi tinggi seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Ipoh.
“Pendekatan yang berpecah-pecah ini menjejaskan penganjuran jelajah domestik, mewujudkan kos yang tidak perlu dan mengehadkan pertumbuhan ekosistem persembahan langsung Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, ALIFE memuji keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan duti hiburan bagi persembahan secara langsung antarabangsa sehingga tahun 2028, sambil menyatakan bahawa dasar yang stabil itu telah memacu pertumbuhan yang luar biasa dan menghasilkan limpahan ekonomi yang ketara di Kuala Lumpur.
Kenyataan itu memaklumkan ALIFE berpandangan bahawa kepastian dasar yang sama kini wajar diperluas ke seluruh negara untuk merangsang pelaburan sektor swasta.
Menurut ALIFE, tumpuan harus diberikan kepada usaha memaksimumkan aktiviti ekonomi serantau yang menyokong perniagaan tempatan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh daya saing Malaysia berbanding meningkatkan kutipan cukai tiket. – Bernama